| Tuan Guru Haji Musa Mat Tahir |
Tuan Guru Haji Musa ulama berjasa di Bukit Marak
Almarhum Tuan Guru Haji Musa Mat
Tahir al-Kelantani dilahirkan pada tahun 1895 di Kampung Jeram, Pasir Puteh,
Kelantan. Ayahandanya bernama Mat Tahir manakalanya bondanya bernama Wan Sena.
Kesungguhan ibubapanya menghantar beliau mempelajari ilmu agama semenjak dari
usia yang kecil telah mencambah minat beliau yang sangat mendalam dalam bidang itu.
Selain mendalami pengajian di tempat asalnya, beliau turut menimba ilmu di
beberapa pondok terkenal seperti di Bunut Payong dan juga pondok-pondok sekitar
Patani, Thailand.
Sepanjang hayatnya, Tuan Guru Haji Musa telah berkahwin
sebanyak tiga kali. Perkahwinan kali pertama adalah dengan gadis sekampungnya
ketika dia berusia awal 20-an. Beliau memperolehi seorang anak lelaki yang
diberi nama Idris. Namun jodoh perkahwinan mereka dikatakan tidak panjang.
Tuan
Guru berkahwin buat kali kedua setelah pulang dari Makkah. Beliau berkahwin
dengan Hajjah Che Wook yang berasal dari Kampung Seterpa, Bukit Marak. Mereka
dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Noor (Haji) dan Jah (Hajjah). Tuan Guru
berkahwin lagi buat kali ketiga dengan Hajjah Che Bidah Awang Kechik, bekas
isteri kepada Dato' Amar Diraja Kelantan, Dato' Nik Mustapha Fadhil Bin Dato'
Nik Mahmood. Ketinggian budi pekerti Hajjah Che Bidah telah menambat hati
beliau dan melalui perantaraan anak muridnya, beliau telah melamar Hajjah Che
Bidah sebagai teman hidupnya.
Hasil perkongsian hidupnya dengan Hajjah Che
Bidah, beliau telah dikurniakan tiga anak lelaki dan empat anak perempuan.
Antara anak beliau yang menjadi tokoh masyarakat ialah anak keenam beliau iaitu
Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Seri Panglima Haji Annuar Haji Musa, Mantan
Menteri Kabinet, Malaysia dan anak bongsu beliau iaitu Tuan Haji Ahmad Termizi
Haji Musa, Ketua Sektor Pelajaran di JPN Kelantan.


