Monday, June 16, 2014

World Cup dan Brazil

Assalamualaikum...


Sebut Piala Dunia, pasti tumpuan orang ramai akan terarah kepada Sukan Bola Sepak sedangkan banyak lagi acara sukan yang dianjurkan dengan nama World Cup. Kuatnya pengaruh bola sepak hinggakan istilah Piala Dunia itu eksklusif untuk sukan kegemaran ramai ini.  Tidak apalah, seluruh dunia memang menggemari sukan ini.

Di Malaysia, bola sepak telah mejadi fenomena semenjak tahun 2008 dengan kemuncak Harimau Malaya berjaya merangkul Piala AFF buat pertama kali pada 2010. Hingga kini Liga Malaysia baik Liga Super mahupun Liga Perdana makin meriah dengan pelbagai kontroversi. Namun, hingga saat ini, kita hanyalah jaguh dilaman sendiri sahaja. Mungkin tahun-tahun seterusnya sukan bola sepak di Malaysia mengorak langkah lebih jauh pada peringkat Asia Tenggara dan Asia juga Dunia... semua ini mungkin berlaku sekiranya semua orang memberi komitmen yang jitu dan tidak berbelah bagi demi sukan ini.


Itu kisah di Malaysia, kini World Cup yang sedang berlangsung di Brazil. Seluruh dunia memberi tumpuan dan berbicara mengenai kejohanan ini. Konglomerat sukan seperti Nike dan Adidas mengeluarkan "promo" masing-masing untuk menghidupkan suasana festival seantero dunia. Ia memberi kesan yang memberangsangkan kepada manusia di luar Brazil.

Tetapi sedarkah kalian, terdapat rakyat Brazil memboikot Penganjuran Piala Dunia kali ini. Kita hanya mengenali Brazil sebagai sebuah negara yang melahirkan Lagenda Bola sepak dan juga bakat-bakat luar biasa seperti Pele, Ronaldo, Kaka, Ronaldinho, dan terbaru Neymar. Sebenarnya, Brazil bukan seindah "samba" dan "festival" serta kehebatan Bola sepaknya....

Brazil!
Ia adalah sebuah negara yang terletak dalam Benua Amerika dan ia terletak di Selatan benua itu. Sejarah mencatatkan, di benua ini sudah wujud jutaan manusia dan mempunyai peradaban yang canggih kerana mereka juga warisan Kaum Maya dan Inca. Sungai Amazon menjadi nadi kehidupan mereka dari dulu hingga sekarang.

Semenjak tahun 1500, ia adalah sebuah koloni Portugis ketika era kolonialisasi dunia. Perhambaan adalah isu utama ketika mereka dibawah Portugis. Pastinya, kesengsaraan dan penderitaan jelas tepapar di fikiran kita apabila disentuh hal "perhambaan". 

Pastinya, penduduk peribumi bangkit menentang penjajahan keatas mereka dan perjuangan mereka tidak pernah kunjung tamat. Siri pemberontakkan yang panjang dilancarkan oleh kelompok masyarakat peribumi Brazil hinggalah mereka mencapai kemerdekaan pada tahun 1822.

Muzik, Nyanyian dan Tarian telah menjadi darah daging orang Brazil. Semasa dalam penjajahan, mereka suka berhibur dan hiburan mereka agak ekstrem sebagai ekspresi jiwa yang tertindas. Lahirlah satu gerak tari yang dinamakan sebagai Capoeira. Pada awalnya, ia adalah satu persembahan yang menghiburkan.

Persembahan Capoeira

Namun, pihak berkuasa Brazil ketika era kolonial melihat ia sebagai satu bentuk seni mempertahankan diri yang berbahaya dan lebih ganas jika ianya digabungkan dengan pisau lipat.



Tarian

Menjadi budaya dan tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan masyarakat Brazil, malah Brazilian Carnival menjadi satu fiesta yang menarik perhatian masyarakat dunia untuk berkunjung ke Brazil. Siapa tidak tahu tentang tarian samba yang identikal sebagai pengenalan penduduk Brazil.


Kehidupan di Brazil tidak lah indah seperti bola sepak dan tarian serta festival yang saban tahun dianjurkan. Rata-rata rakyat Brazil hidup miskin dan melarat kerana pertumbuhan ekonomi yang perlahan. Faktor ini mendorong banyak berlaku aktiviti jenayah di negara tersebut.




Klip diatas menjadi viral dua bulan lepas dan ia berlaku di Rio Jenario. Kejadian ini berlaku sewaktu satu sesi temuramah antara wartawan dengan penduduk Rio berkenaan kelemahan polis dalam menangani jenayah. Sedang ditemuramah, wanita ini telah diragut oleh seorang remaja lelaki. Ini lah gambaran sebenar keadaan di Rio yang juga ibu negara Brazil.

Piala Dunia
Kini tumpuan dunia kepada Brazil kerana mereka akan penganjur pada edisi ini. Pro and Cons pastinya wujud. Penganjuran acara sukan yang mempunyai peminat paling ramai ini pastinya akan merancakkan aktiviti pelancongan dan melonjak pendapatan Brazil.

Apa pun, Piala Dunia ini menunjukkan bahawa Kerajaan Brazil berani untuk menukar persekitaran mereka seterusnya menjadikan negara mereka lebih baik.

Benar, pada waktu ini berlaku rusuhan dan tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh pihak bertanggungjawab, bahawa kononnya penganjuran sukan ini membebankan rakyat... namun inilah cabarannya.

Apa pun, Brazil sememangnya merupakan sebuah negara menarik untuk dikunjungi, cuma anda perlu berhati-hati kerana malang sentiasa tidak berbau!





Thursday, June 12, 2014

Antara Kejadian Babi > Tikus > Kucing

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera.

Babi atau Khinzir juga popular dipanggil pig adalah makhluk kejadian Allah s.w.t. Umat Islam terutama di Malaysia amat menjaga tentang Babi kerana ia telah dijelaskan sebagai HARAM dalam Islam dan ianya tercatat dalam Quran tentang larangan dari Allah s.w.t. untuk orang-orang beriman dari memakan daging Babi.

Orang ramai tidak jelas dengan mendalam tentang Kejadian Babi serta larangan memakan daging Babi. Justeru, kali ini kami cuba mengupas tentang kejadian Babi itu sendiri dan pastinya  ada sebab kenapa Allah s.w.t. melarang kita memakan Babi.

Kejadian

Cuba mencari sumber rujukan yang terbaik mengenai kejadian Babi melalui carian online, namun hasilnya tidak begitu memuaskan memandangkan terdapat beberapa artikel tidak menjelaskan secara khusus sumber rujukan mengenai kejadian babi itu. Apa yang kami perolehi adalah berkenaan kisah riwayat yang mungkin dipetik dari hadis dan kami tidak dapat pastikan adalah ianya dari hadis sahih atau palsu.

Ianya mungkin boleh dijadikan pengajaran dan iktibar, dan pada yang lebih arif mungkin saudara dan saudari boleh menyatakan sumber asal mengenai riwayat ini....

|................| |................| |................| |................| |................| |................| |................| |................| 

Nabi Nuh a.s. telah diangkat menjadi Nabi dan Rasul Allah. Kaumnya ditakdirkan Allah s.w.t. mempunyai umur yang panjang. Di riwayatkan, Nabi Nuh berdakwah kepada kaumnya selama 950 tahun. Namun, hanya 100 orang sahaja yang beriman kepada Allah s.w.t. selebihnya telah menjadi syirik, sombong dan bongkak.

Degilnya kaum itu, hingga Nabi Nuh a.s. memohon doa kepada Allah s.w.t. untuk mendapatkan pembelaan dari Allah.... [Quran : Al Qamar, 54-10]. Kemudian, Allah s.w.t. memerintahkan Nuh a.s. supaya membina bahtera dan jangan mempedulikan apa yang orang kata. [Quran : Hud 11, 36-37]. Setelah bahtera itu selesai dibina, maka dengan perintah Allah s.w.t. maka hujan mencurah-curah turun, dan Bumi juga mengeluarkan airnya. Kemudian, Allah s.w.t. memerintahkan Nuh agar membawa semua hidupan ke atas bahtera itu secara berpasang-pasangan.[Quran : Hud 11 - 40]. Disebut juga, ketika semua makhluk di bawa menaiki bahtera Nabi Nuh a.s. Iblis juga turut serta menumpang untuk menyelamatkan dirinya. 

Maka belayarlah bahtera Nabi Nuh mengelelilingi dunia. Bahtera tersebut membawa muatan hidupan yang sangat banyak dan pasti timbul beberapa masalah. Masalah yang utama dihadapi adalah berkenaan najis yang memenuhi bahtera telah membuatkan para pengikut Nuh a.s. tidak selesa. Justeru, Nuh telah memohon petunjuk dari Allah s.w.t.

Babi@Khinzir@Pig
Kemudian, Allah s.w.t. telah menyuruh Nabi Nuh agar membelai gajah dan akan keluar binatang-binatang yang dapat membersihkan kotoran tersebut. Lalu, Nabi Nuh mengikuti apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Baginda membelai gajah dan keluarlah babi-babi berpusu-pusu dan segera membersihkan najis-najis tersebut hingga tidak bersisa.

Tikus

Iblis cemburu melihatkan mukjizat Nabi Nuh a.s. tersebut. Lantas dia telah membelai gajah tersebut dan dengan izin Allah s.w.t. keluarlah berduyun-duyun tikus dari gajah itu dan tikus ini telah merosakkan bahtera Nuh. 

Kucing
Melihatkan masalah ini, Nabi Nuh a.s. sekali lagi memohon petunjuk dari Allah s.w.t. untuk menyelesaikan masalah tersebut kerana baginda khuatir bahtera tersebut akan tenggelam. Allah s.w.t telah memerintahkan agar Nabi Nuh membelai Harimau dan akan keluar haiwan yang akan memusnahkan tikus-tikus itu. Perintah Allah s.w.t itu dipatuhi dan Nuh pun membelai Harimau, maka keluarlah berduyun-duyun Kucing dari harimau itu dan memakan tikus-tikus sehingga tidak bersisa.

|................| |................| |................| |................| |................| |................| |................| |................| 

Kesimpulannya, Babi - Tikus - Kucing adalah kejadian Allah s.w.t. Babi diizinkan Allah wujud kerana untuk membersihkan masalah najis para penumpang bahtera Nuh. Tikus wujud kerana keingkaran Iblis dan merosakkan bahtera. Manakala kucing pula wujud untuk menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh Tikus. 

Namun yang menjadi ralat, kami tidak menemui sumber akan riwayat ini. Kami akan kemaskini semula artikel ini sekiranya menemui sumber yang dapat menyokong riwayat ini. Seterusnya, kami akan kupaskan mengenai HARAM memakan BABI!

Wednesday, June 11, 2014

Keukenhof of Holland





Holland dan Bunga terutama Bunga Tulip memang tidak dapat dipisahkan, Kincir Angin juga menjadi ikon pelancongan Holland. Kali ini, saya ingin kongsikan tentang Keukenhof yang menjadi tempat tarikan utama pelancong seluruh dunia.

Keukenhof sebenarnya adalah sebuah Taman Bunga dan ianya dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok bunga dari seluruh pelosok dunia yang telah dicarta. Pemandangan sekitar taman ini juga sangat indah kerana ia dikelilingi oleh ladang-landang tulip. 

Para pengujung jika ingin menyaksikan keindahan bunga tulip disarankan membuat perjalanan sekitar bulan Mac - Mei kerana Taman Bunga ini hanya dibuka dalam jangka masa tersebut. Tempoh 3 bulan ini juga menyaksikan berduyun-duyun orang melawat Holland. Namun, cuacanya boleh tahan juga kerana pada waktu itu suhu masih sejuk dalam 8°-13°c dan hujan kerap turun.

Tempat tumpuan pelancong, pastinya anda harus membayar tiket dimana harga untuk tiket untuk orang dewasa dalam 12.00 manakala kanak berumur dari 4-12 tahun sebanyak 8.00. dan ianya dihubungkan dengan Bas dan keretapi. Jika anda datang sebagai pelancong, perkara ini tiada masalah kerana agen anda akan selesaikan semua yang berkaitan... just relax and enjoy your holiday.... namun bagi pengunjung biasa, kita boleh selesaikan perkara ini secara online, tidak perlu beratur dikaunter... :D

Keukenhof juga menyediakan pakej "Kapal Terbang" untuk anda menghayati pemandangan sekitar Keukonhof yang sungguh mengasyikkan, kebiasaannya pelancong asing jarang mengambil pakej ini kerana agen tidak promote kerana ianya memakan masa dan pastinya akan menjejaskan jadual lawatan. 

Owh, sebelum terlupa... Taman Bungan ini sebenarnya berhampiran dengan Schipol iaitu lapangan International Airport, dan kebiasaannya pilot akan melalui kawasan Kuekonhof untuk memberi gambaran yang magnificent kepada anda betapa indahnya Holland seperti yang carian yang anda perolehi dari google.

Yup, rasanya cukup saya cerita tentang Keukonhof, kerana di Holland ni ada beberapa tempat lagi yang mempunyai pemandangan sama seperti Keukonhof iaitu di Leiden dan Eindhoven, kebiasanyannya orang pelancong Eropah je yang lawat tempat ini... namun, kalau ada yang melawat boleh kami aturkan.... just email kepada kami cactuswangi@gmail.com atau sila kunjungi kami di Facebook@Kaktus Wangi.

Antara pemandangan di Keukonhof,















Maklumat lanjut tentang Keukonhof boleh seperti berikut http://bit.ly/NtK7PY dan anda juga boleh hubungi kami di facebook.... Kaktus Wangi

Reunion musnahkan rumah tangga kami

Sekadar Hiasan@Cactus Wangi

Tidak semua pertemuan semula (reunion) menggembirakan. Ada juga yang membawa derita dan memutuskan ikatan perkahwinan. Namun jika itu takdir Allah, apa lagi yang mampu dilakukan, terimalah dengan reda dan mohon Allah beri petunjuk agar hidup lebih bermakna. Ia menjadi fenomena pada masa ini. Di mana-mana sahaja orang bercakap tentang reunion, tidak kiralah sama ada dengan kawan sekolah, jiran, universiti atau pejabat.

Memang ada baiknya reunion, sekurang-kurangnya ia dapat menemukan rakan-rakan yang sudah berpuluh-puluh tahun tidak ditemui dan mengeratkan silaturahim. Tetapi reunion juga boleh memusnahkan sebuah perhubungan.
Inilah kisah yang saya paparkan minggu ini, kisah reunion yang meninggalkan titik hitam dalam hidup Nora (bukan nama sebenar) dan pasangannya Nasri (bukan nama sebenar).

Mahu tidak mahu Nora terpaksa menerima kenyataan yang suaminya kini telah kembali kepada bekas kekasih lamanya setelah menghadiri majlis reunion bekas pelajar universiti tempat mereka belajar.
Ingin tahu lebih lanjut, ikuti kisah Nora.

"Saya telah bernikah dengan Nasri sejak lapan tahun lalu setelah setahun bercinta. Pertemuan semasa menghadiri satu seminar anjuran tempat kerja menemukan saya dan dia. Kami dikurniakan seorang anak lelaki berusia tiga tahun.

"Saya bekerja di sebuah syarikat swasta dan suami penjawat awam. Sepanjang lapan tahun, tidak ada masalah yang berlaku dalam hubungan kami. Nasri seorang suami yang baik dan penyayang.

"Setiap tahun, kami selalu melancong ke luar negara dan juga menghabiskan masa bercuti dalam negara bila ada kelapangan. Pendek kata keharmonian rumah tangga kami sangat menyerlah.

"Sehinggalah hujung tahun lalu, kebahagiaan itu tergugat apabila suami bertemu semua dengan bekas kekasihnya pada zaman universiti dahulu. Ini semua gara-gara reunion rakan universiti yang dihadirinya.

"Saya tak kisah suami mahu ke majlis itu sebab saya percaya dengan kesetiaannya. Sebelum ini, saya tidak pernah cemburu atau buruk sangka dengan suami, sebab tahu dia ikhlas dalam perhubungan kami.

"Selesai majlis itu, saya nampak perubahan dalam dirinya. Tingkah laku, tutur kata dan sikapnya jauh berbeza berbanding sebelum ini. Dia tidak berenggang dengan telefon bimbitnya. Setiap saat, telefon bimbit ada dalam genggamannya terutama pada waktu malam.

"Di rumah pun sama, dia tidak pernah letak telefon. Ke mana sahaja pergi mesti dipegangnya telefon. Kalau anak kami nak pinjam main game, dia akan marah-marah. Sebelum ini, suami tidak pernah meninggikan suara dengan anak.

"Pada hujung minggu, dia selalu menghabiskan masa di luar. Tidak seperti biasa membawa saya dan anak keluar bersiar-siar atau makan-makan. Jika tidak pun menemani saya dan anak di rumah.

"Tidak cukup dengan keluar di hujung minggu, dia mula out station, kononnya untuk berjumpa kawan-kawan lama selepas reunion tersebut. Itu pun saya masih tidak syak apa-apa sebab masih percayakan dia.

"Satu hari, dia memberitahu saya untuk out station selama tiga hari. Alasannya untuk menghadiri majlis perkahwinan salah seorang stafnya. Saya tidak tanya banyak kerana saya tahu dia tidak bohong, malah saya tidak nampak tanda-tanda dia berbohong dengan saya.

"Sehinggalah semua rahsianya terbongkar, tiga bulan kemudian apabila saya terjumpa resit sewa hotel di dalam beg pakaiannya. Berderau darah saya melihat resit tersebut, makan minum untuk dua orang dan resit pembelian di sebuah kompleks membeli-belah di luar negara.

"Sehari suntuk saya menangis dan hati berdebar-debar. Perasaan saya mula tidak tenang. Saya mula syak yang bukan-bukan dan berdoa semoga apa yang saya syak tidak akan menjadi kenyataan.

"Tapi Tuhan tahu apa yang ingin diujinya untuk saya. Melalui seorang teman pejabat, saya dimaklumkan yang suami saya sudah bernikah lagi dengan kekasih lamanya di seberang.

"Lalu saya teringat permintaan dia untuk out station tiga bulan lalu. Saya yakin itulah masanya dia bernikah dengan kekasih lamanya itu. Saya tidak menangis. Saya tidak mahu jadi bodoh memikirkan kecurangan seorang lelaki bernama suami.

"Saya mahu buat penyelesaian dengan lelaki yang kononnya setia kepada saya tetapi beralih kasih.

"Mencari masa yang sesuai, saya bersemuka dengan suami. Saya tunjukkan sekali resit hotel dan pembelian yang saya jumpa. Juga saya beritahu dia yang rahsianya sudah terbongkar.

"Tanpa rasa sedih, saya ucap selamat pengantin baru kepadanya. Tanpa memberi dia peluang untuk bercakap, saya sudahkan kata-kata saya dengan, 

"saya nak abang bebaskan saya!" Berulang kali saya sebut perkara itu.

"Saya tidak mahu lagi memberi dia peluang. Sekali kepercayaan saya hilang, saya tidak akan memberi peluang kedua kepadanya. Saya kecewa dan kesal dengan perbuatannya.

"Melihat saya menyerangnya bertubi-tubi, dia akhirnya mengalah. Dia mula berterus-terang dengan saya, menceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Dia mengaku telah menikahi perempuan itu secara rahsia di negara jiran.

"Kononnya, dia menerima perempuan itu kerana kasihan sebab sampai sekarang dia belum berkahwin kerana kecewa ditinggalkan dahulu.

Mudahnya lelaki menyusun kata.

"Dalam sekelip mata, dia terlupa kepada saya yang sudah lapan tahun berkorban untuknya. Menjaga makan, pakai, sakit demamnya. Hanya kerana jumpa semula bekas kekasih, sanggup dia bernikah lagi.

"Saya ralat kerana dia bertindak tanpa meminta izin saya, ajak saya berbincang sedangkan saya tahu, perbuatannya itu dalam keadaan tidak sedar sebab terkejut dengan kehadiran semula wanita itu dalam hidupnya. Mudah sungguh bagi lelaki.

"Apa pun semuanya sudah terlambat. Hati saya sudah terluka, pedih dan tidak mungkin akan terubat lagi. Saya kecewa yang amat sangat. Saya tidak mahu lagi hidup bersamanya kerana kecurangannya itu.

"Saya tidak menolak takdir. Saya reda tetapi saya kecewa dengan perbuatannya yang tidak berfikir panjang dan tidak mempedulikan perasaan saya sebagai isteri.

"Sanggup pula berbohong untuk menghadiri majlis perkahwinan staf, sedangkan dia sendiri yang bernikah. Perlukah lagi saya menghormatinya sebagai suami setelah apa yang dia lakukan ini?

"Keluarga menentang keras keputusan saya terutama sebelah mentua. Tetapi saya nekad. Saya ada hak saya sendiri sebagai isteri. Saya tidak mahu selama-lamanya diperbodohkan. Jika dia sanggup menipu saya untuk bernikah lagi, tidak mustahil sepanjang perkahwinan kami nanti dia akan berbohong lagi untuk menyelamatkan dirinya untuk berpoligami.

"Walaupun saya sedih sebab anak terpaksa hilang kasih sayang ayah untuk tinggal sebumbung tetapi saya berjanji akan menjaga anak saya dengan sebaik-baik mungkin. Saya tidak kisah untuk berbaik-baik dengan dia demi anak.

"Saya harap permohonan saya untuk berpisah diterima. Saya tidak mahu lagi hidup bersamanya. Hati saya telah hancur dan jiwa saya telah lama hilang lenyap bersama kepercayaan saya kepadanya.

"Saya minta maaf kepada keluarga kerana tidak menerima nasihat mereka. Saya tahu apa yang terbaik untuk masa depan saya. Orang hanya memandang, yang menanggungnya saya. Saya benar-benar terluka hati. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ini.

"Saya nasihatkan para isteri di luar sana, hati-hati apabila suami anda menghadiri majlis reunion. Jika diajak, jangan lupa ikut sama. Jangan biarkan mereka pergi seorang diri. Banyak drama yang akan berlaku dalam majlis itu terutama apabila bertemu semula dengan rakan lama yang satu ketika pernah singgah di hati mereka.

"Semoga Allah lindungi saya dan anak untuk hari-hari mendatang dengan rahmat dan nikmatnya di dunia dan akhirat. Amin.’’ Nora menamatkan ceritanya.

Saya turut simpati dengan apa yang Nora lalui. Memang betul apa yang Nora katakan, sekali terguris hati selamanya hati akan tercalar. Siapa yang pernah melaluinya akan merasa peritnya apabila suami diambil orang.
Saya ucap syabas dan tahniah kepada Nora kerana berani bersemuka dengan suaminya secara berhemah. Jarang isteri bersikap terbuka tentang perkara orang ketiga dalam rumah tangga. Namun, Nora mengambil pendekatan berbeza setelah mendapatkan bukti-bukti yang sah.

Saya setuju dengan Nora bahawa reunion jika tidak digunakan dengan cara betul akan membawa masalah. Seelok-eloknya bawa pasangan masing-masing untuk dikenalkan kepada rakan-rakan lama agar tidak timbul perkara negatif di kemudian hari.

Apa pun semuanya terpulang kepada hati. Tepuk dada tanya selera. Jika nawaitu kita positif, maka akan positif juga akhirnya tetapi jika sebaliknya, hanya Allah jadi penentu. Semoga Nora dan anaknya sentiasa dalam rahmat Allah dan tabah menghadapi hidup.

Menamatkan coretan, pesanan saya, jangan berputus asa dengan apa yang hilang daripadamu dan jangan terlalu bahagia dengan apa yang bakal datang kepadamu kerana segala-galanya hanya sementara.


Artikel di salin dari : http://bit.ly/TIOiLk

Saturday, May 24, 2014

Dato Bahaman Pencetus Kebangkitan Pantai Timur : Episod 4 Bahagian 1 – Berperang dengan British!

SIRI PANTAI TIMUR : PAHANG

Sultan Ahmad al-Muadzam (1882-1909)
Tamat perang saudara yang berlangsung selama 6 tahun (1857-1863), Pahang telah bertambah makmur dibawah pentadbiran Bendahara Sewa Raja Wan Ahmad dan dibantu oleh Orang Kaya Setia Semantan, Dato Bahaman dan Imam Perang Rasu Tok Gajah. Kemakmuran Pahang dalam jangka masa ini telah menarik minat Inggeris dan kuasa Eropah yang lain terutamanya Jerman datang untuk melabur serta memajukan Pahang.

Pendudukan Jerman ini dipandang serius oleh Inggeris kerana mereka telah lama bertapak di sebahagian Semenanjung Tanah Melayu dan mereka mula mencampuri urusan pentadbiran Pahang. Mengikut beberapa catatan, Pahang mempunyai hasil hutan yang banyak dengan balak yang bermutu tinggi. Hasil buminya juga tidak kurang sikitnya terutama Emas di Endau, Kuala Lipis dan beberapa daerah yang lain.

Campur Tangan
Pada peringkat awal, pihak Inggeris telah melaburkan modal mereka melalui syarikat perlombongan dan carigali namun lama kelamaan aktiviti Inggeris ini tidak disenangi oleh pembesar Pahang waktu itu kerana mereka sedar tentang apa yang dilakukan oleh Inggeris terhadap beberapa negeri di Tanah Melayu pada waktu itu seperti di Negeri Sembilan, Perak, Selangor dan Kedah.

Bertitik tolak dari itu, Bendahara Wan Ahmad dan Pembesarnya telah mengadakan mesyuarat sulit di Kuala Bera, Temerloh dan selepas itu mereka adakan sekali mesyuarat di Pulau Tawar, Jerantut dan kesemua pembesar Pahang pada waktu itu telah mengisytiharkan ikrar taat setia kepada Bendahara Wan Ahmad serta menolak campurtangan Inggeris dalam pentadbiran Pahang.

Inggeris menyedari tentang bantahan daripada pembesar Pahang dan bermula 1882, mereka telah melancarkan pelbagai usaha untuk menguasai Pahang sama ada secara sulit atau melaga-lagakan pemimpin Pahang pada waktu itu.

Tengku Mahmud, Sultan Pahang 1909-1917
Pada 1885, Inggeris cuba memporak perandakan Pahang dengan melantik Wan Mansur adik kepada Bendahara Wan Ahmad sebagai Raja Muda dengan memaksa wakil Pahang di Singapura menandatangani perlantikan tersebut. Sedangkan pada waktu itu, Tengku Mahmud putera Wan Ahmad sudah diakui sebagai penggantinya. Jelas tindakan Inggeris dibawah kendalian Frank Swettenham yang juga Residen Selangor pada masa tersebut untuk mengucar kacirkan Pahang.

Rancangan jahat Inggeris diteruskan untuk menekan Pahang dan kejadian pembunuhan seorang tauke Cina yang bernama Goh Hui di kawasan istana Wan Ahmad di Pekan pada 23 Januari 1888 dijadikan alasan oleh British untuk memaksa Wan Ahmad menerima Penasihat Inggeris. Ini kerana British menyatakan bahawa Goh Hui adalah rakyatnya yang berasal dari Singapura.

Kes pembunuhan Goh Hui ini telah diambil kesempatan oleh British dengan menyatakan Pahang pada waktu itu tidak aman, selaka berlaku kes pembunuhan dan mengamalkan perhambaan.

Sebelum Campur Tangan
Pahang sebenarnya berada dalam keadaan aman selepas tamat perang saudara. Pentadbiran berjalan lancar dan para pembesar menjalankan tugas dengan amanah. Orang Melayu menjalankan kerja secara gotong royong dan tidak wujud istilah perhambaan atau kerahan tenaga. Namun gaya kerja yang dijalankan oleh orang-orang Pahang pada waktu itu disalah anggap oleh British.

Namun, orang yang jahat hatinya hitam. Tamak menguasai diri atau kerana mereka memangnya berniat untuk menjajah telah dan tetap melakukan onar.

JP Rodger, Residen Pertama Pahang
Inggeris telah membawa masuk buruh Cina secara beramai-ramai dari Singapura serta dari negeri di bawah naungannya ke Pahang sebagai pekerja lombong. Keadaan ini pastinya akan menimbulkan kekacauan di kawasan lombong dan menjadi diluar kawalan kerajaan Pahang pada waktu itu. Perkara ini telah membuka ruang kepada British menawarkan bantuan kententeraan mereka untuk mententeramkan keadaan tersebut.

Sebenarnya, hal ini bukan semudah seperti disangka oleh orang-orang Pahang yang baru pulih dari perang saudara pada waktu itu. Pejabat Tanah di London telah mengarahkan Residen mereka seluruh Empayar British untuk mendapatkan seberapa banyak bahan galian terutama bijih timah, getah dan Emas untuk menampung kilang perindustrian yang sedang pesat membangun di Eropah pada waktu tersebut.

British sungguh licik, sebelum mereka bergiat cerga di Pahang, mereka telah bersahabat baik dengan Kerajaan Johor terutama dengan Maharaja Abu Bakar bagi memajak beberapa kawasan tanah lombong di Pahang dan mereka telah berjaya beroperasi di Ulu Cheka, Kecau, Tenom, Penjuin, Tras dan Sungai Dua. Menjadikan alasan pengelibatan syarikat British inilah Frank Swettenham, Weld, Hugh Clifford, J.P Rodger, Hugh Low dan Martin Lister selalu ke Pekan sama ada memaksa atau menasihati Wan Ahmad.

Siri Lawatan oleh wakil-wakil British ini telah membuatkan pembesar Pahang mengadakan pertemuan sulit untuk menyatakan pendirian mereka terhadap kegiatan British di Pahang pada waktu itu. British pada waktu itu sangat menjengkelkan tetapi pembesar Pahang tidak bertindak kerana menghormati juga Johor yang juga sahabat kepada British.

Tidak Sensitif
8 Oktober 1887, Bendahara Wan Ahmad telah menandatangani perjanjian dengan British untuk menerima sistem Residen British di Pahang dengan tujuan untuk mengekang kejadian jenayah di Pahang serta mengembalikan keamanan. Perjanjian itu juga menyatakan bahawa Bendhara Sewa Raja Wan Ahmad ditabalkan sebagai Sultan dan keturunan Baginda diakui sebagai perwaris Kesultanan Pahang. Para pembesar di beri gaji mengikut pangkat.

Setelah itu, Inggeris melaksanakan sistem Residen di Pahang dengan J.P. Rodger sebagai Residen yang pertama. Selepas setahun, British makin aktif tetapi mereka tidak melaksanakan sebagaimana mereka janjikan.

Polis Inggeris dan Sikh bertindak kasar dan tidak menghormati budaya dan adat resam orang-orang Melayu hingga menimbulkan perasaan tidak puas hati dan ada yang berdendam dengan sikap pihak berkuasa British. Para pembesar Pahang juga tidak dibayar gaji seperti mana yang dijanjikan dan mereka merasakan hak mereka telah dicabul.

Inggeris telah menuduh pembesar Pahang memungut cukai dan tidak mempedulikan larangan mereka. Mereka juga dituduh menggunakan hamba dan menjalankan kerahan tenaga terhadap rakyat Pahang. Sudah menjadi adat dan amalan orang-orang Melayu bekerja secara gotong royong terutama dalam pekerjaan ladang dan penerokaan hutan.

Pembesar Pahang telah sebulat suara melantik Dato Bahaman sebagai Ketua Perutusan untuk bertemu dengan Sultan Abu Bakar dan Sir Cecil Clementi Smith, Gabenor Negeri-Negeri Selat di Kota Tingi, Johor bagi membincangkan perkara tersebut. 3 orang pahlawan Pahang dipilih untuk mengiringi Dato Bahaman iaitu Mat Lela, Mat Kelubi dan Panglima Hitam Haji Othman bin Haji Abdullah atau Radin Damabulan.

Rundingan Gagal
Perjalanan dari Pekan ke Kota Tinggi memang sukar pada masa itu, rombongan Dato Bahaman telah mudik dari Sungai Pahang hingga ke Penarik dengan perahu. Kemudian mereka berjalan kaki melalui Muar hingga ke Johor Bharu. Setelah itu melalui Skudai selama tiga hari barulah mereka tiba di Kota Tinggi.

Dato Bahaman telah menjelaskan perihal Inggeris yang tidak memenuhi janji mereka pada 1887 itu. Gabenor Negeri-Negeri Selat menyatakan kesedihan beliau akan perkara itu dan menwarkan gaji tetap $500 sebulan kepada Dato Bahaman di samping gaji paling tinggi dikalangan pembesar selepas Sultan dan pembesar lain menerima gaji mengikut pangkat dan ianya berkuat kuasa sebulan selepas itu.

Tawaran tersebut telah ditolak bulat-bulat oleh Dato Bahaman dan berikrar dihadapan Sultan Abu Bakar dan Gabenor Inggeris itu untuk bangkit memperjuangkan Pahang selagi British tidak keluar dari Pahang.

Tindakan Dato Bahaman itu telah mencetus bibit perseteruan dengan British. Sultan Ahmad telah dipaksa melucutkan jawatan Dato Bahaman dan atas Sultan juga, Dato Bahaman kerap diundang ke Pekan sebagai umpan untuk menangkap beliau. Orangnya penuh ilmu dan pengalaman, Dato Bahaman tidak mudah diperdaya, malah beliau telah membina angkatan untuk bersedia menghadapi segala kemungkinan di Semantan.

British Bertindak
1889, Inggeris telah bertindak kejam dengan menembak dan merampas tapak rumah Orang Kaya Setia Raja Haji Wan Daud di Kuala Lipis dengan kekerasan dan ditawarkan $200 sebagai pampasan. Bagai mencurah minyak dalam api. Inggeris semakin bongkak dengan membina Pondok Polis di Lubuk Terua, Semantan tidak berapa jauh daripada rumah Dato Bahaman.

Tindakan ini telah membangkitkan kemarahan Dato Bahaman kerana ianya mencabar kedudukan beliau selaku Orang Besar Pahang. Di daerah lain, seperti Kuala Lipis, Bentong dan Jerantut, Inggeris dengan sombong telah membuka lombong bijih timah tanpa menghiraukan pembesar Pahang di daerah tersebut.

Sultan Ahmad  pula telah berpindah dari Pekan ke Pualau Tawar, Jerantut sejak Tengku Mahmud dilantik sebagai pemangku Raja pada 22 Julai 1889. Tengku Mahmud pula dipaksa ke Pekan untuk memudahkan urusan J.P.Rodgers bagi menandatangani perintah demi kepentingan Inggeris. Perpindahan Sultan Ahmad sebenarnya untuk memutuskan hubungan antara baginda dengan Dato Bahaman, seolah-olah Sultan Pahang tidak lagi menyokong Dato Bahaman.

Perkara ini telah membuatkan kedaulatan Sultan Pahang diremehkan dan telah menyemarakkan kemarahan penduduk Pahang terutama Dato Bahaman dan mereka menyedari Inggeris menggunakan nama Sultan dalam setiap tindakan mereka.

Episod ini akan bersambung pada bahagian dua.


Thursday, May 22, 2014

Dato Bahaman Pencetus Kebangkitan Pantai Timur : Episod 3 – Dari Acheh turun ke Pahang!

SIRI PANTAI TIMUR : PAHANG

Pendahuluan
Dua episod sebelum kami ada nyatakan tentang Dato Bahaman dan juga usaha mendedahkan kebenaran tentang Dato Bahaman yang masih lagi hidup pada tahun 1970an selepas menjadi buruan Inggeris selepas tamat Perjuangan di Pahang pada 1895.

Ramai generasi kita hanya nampak akan “Tok Gajah” sahaja seolah-olah Dato Bahaman Orang Kaya Setia Semantan Pahang hanyalah watak sampingan, begitu juga kisah Tok Janggut dan Engku Jeram itu hanyalah watak pembantu. Inilah “game” yang dimainkan untuk terus mematikan terus semangat perjuangan Orang Melayu. Namun, bukan itu yang kita mahu bangkitkan dalam artikel ini.

Dua artikel sebelum ini kita memperkenalkan kembali akan Perjuangan Dato Bahaman dan pada artikel seterusnya menyatakan akan perihal Tok Peramu yang kemudian disahkan sebagai Dato Bahaman melalui anak murid, keluarga dan sahabat beliau meskipun Tok Peramu tidak mengesahkan beliau adalah Dato Bahaman. Justeru, kami lanjutkan tentang susur galur Dato Bahaman itu.

Biodata
Nama sebenar :  Tengku Abdul Rahman Alam Shah bin Tengku Nong@Tengku Noh.
Tarikh Lahir : 1824
Tarikh Meninggal : 23 Julai 1977 pada usia 153 tahun dengan nama Tok Peramu
Bapa : Tengku Nong@Tengku Noh
Bonda : Tengku Esah binti Tengku Abdullah (Keturunan Raja Acheh)

Beliau mempunyai 5 orang saudara, 3 orang lelaki dan 2 orang perempuan.
  • Tengku Muhammad Yaakob
  • Tengku Abdul Rahman Alam Shah (Tok Peramu)
  • Tengku Ibrahim
  • Tengku Maznah (Tengku Nah) – tinggal di Riau
  • Tengku Maimunah

 Datuk Bahaman mempunyai 4 orang Isteri dan 10 orang anak
  1. Maimunah, anaknya: Mat Kelubi
  2. Syaripah Zainab binti Haji Kamarudin (Dato Puteh) asal dari Salor Kampar-Sumatera, anaknya: Mat Lela
  3. Fatimah, anaknya:
  • Haji Derus
  • Zainab
  • Bedah
  • Hassan
  • Mohd. Amin (Dato Maharaja Lela Tok Siam)
  • Penghulu Muhammad
  • Ngah Wook
  • Awang Boyan Padang Tengku Lipis
  • Umar
4. Anak Batin Kalmak yang di Islamkan terlebih dahulu sebelum dikahwini. (Batin Orang Asli di Klau, Semantan) antara lain adalah untuk mendapatkan sokongan Kaum Orang Asli dalam perjuangan beliau menentang Inggeris.

Dari Acheh
Pada 1854, Datuk Bahaman telah keluar dari Kota Raja, Acheh bersama-sama ayah dan ahli keluarganya ke Batu Satu, Kampung Umur, Sri Menanti, Negeri Sembilan ketika berusia 30 tahun. Tengku Nong telah mangkat di Kampung Rantau Panjang, Lanchang dan dikebumikan di kampung itu.

Di Negeri Sembilan, Dato Bahaman telah menjadi orang yang berpengaruh di Istana dengan gelaran Datuk Camang Gagah atau disebut juga sebagai Kahar, selain itu Dato Bahaman ini sebenarnya sepupu kepada Tengku Antah yang berasal dari Pagar Ruyung, pada waktu baginda adalah Yamtuan Besar Negeri Sembilan. Sebelum mendapat gelaran Dato Bahaman, beliau lebih terkenal dengan gelaran Dato Camang Gagah.

Ringkasnya, Dato Camang Gagah adalah orang yang benar-benar dipercayai oleh Tengku Antah, segala perkara akan dirujuk kepada Dato Camang Gagah terlebih dahulu. Dalam tahun 1888, Yamtuan Besar Tengku Antah telah mangkat dan dimakamkan berhampiran kediaman Dato Camang di Batu Satu Kampung Umur, Sri Menanti.

Perseteruan dengan Inggeris
Setelah kemangkatan Yamtuan Besar Tengku Antah, Dato Camang Gagah telah diberi mandat oleh para Pembesar Negeri Sembilan memangku jawatan Yamtuan Besar kerana pada waktu itu pewaris takhta Negeri Sembilan, Tengku Muhammad belum cukup umur untuk ditabal sebagai Raja.

Pada waktu inilah berlaku perseteruan antara Tengku Muhammad dengan sepupunya yang lebih tua bernama Tengku Ahmad Tunggal menuntut takhta Yamtuan Besar, namun niat beliau dibantah oleh Dato Camang Gagah kerana Tengku Ahmad adalah waris takhta yang sah.

Tengku Ahmad Tunggal yang mendapat sokongan seorang Gabenor Inggeris, En. William Jervois yang mahukan Tengku Ahmad Tunggal menjadi Yamtuan Besar di Jelebu. Hasrat ini ditentang keras oleh Dato Camang Gagah dan berkeras bahawa Tengku Muhammad waris yang sah dan akan bersemayam di Seri Menanti dan bukannya di Jelebu. Dalam peristiwa tersebut jugalah Dato Camang Gagah tegas menyatakan bahawa hanya beliau yang berhak menabalkan Yamtuan Besar yang baru memandangkan pada waktu itu beliau adalah Pemangku Yamtuan Besar. Inilah permulaan konfrontasi secara langsung antara Dato Camang Gagah dengan British.

Tidak lama selepas itu, Dato Camang Gagah telah menabalkah Tengku Muhammad selaku Yamtuan Besar Negeri Sembila pada 1891. Selain itu, Dato Camang Gagah juga melantik Dato Abdullah sebagai Datuk Undang Pertama di Jelebu.

Rupanya, perseteruan antara Dato Camang Gagah dengan Inggeris tercetus semenjak 1874 lagi. Ia bermula apabila Inggeris mencampuri urusan pentadbiran di Negeri Sembilan.

Perang Saudara Pahang
Pahang selepas Sriwijaya runtuh, mengalami pelbagai konfrontasi daripada Siam, Empayar Melaka, Portugis, Belanda, Johor, dan Acheh pada sebahagian abad ke-16. Sepanjang tempoh itu, Raja-Raja Pahang sering terbunuh, kebanyakkan rakyatnya pula dibunuh ataupun dijadikan hamba dan ekonomi Pahang pada waktu itu musnah. Selepas  kejatuhan Acheh pada pertengahan abad ke-17, Pahang telah dikuasai oleh Johor. Namun semenjak 1470, Pahang diperintah oleh Sultan dari keturunan Kesultanan Melaka hinggalah pada 1688, setelah itu keturunan Raja Bendahara Seri Maharaja (Bendahara Johor) memerintah Pahang hingga 1882 dan setelah digabungkan dalam Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Pahang mempunyai institusi Kesultanannya yang tersendiri.

Pada 1857 – 1863, Pahang telah terlibat dalam Perang Saudara antara Wan Ahmad dengan Wan Mutahir. Mereka berdua adalah anak kepada Tun Ali tetapi berlainan ibu. Menurut sumber, perang ini bermula dari perselisihan faham antara Wan Ahmad dengan Wan Mutahir berikutan fitnah. Menurut sumber, tersebarnya hasutan fitnah oleh ipar Wan Mutahir; Engku Saiyid yang mengatakan Wan Ahmad berkelakuan sumbang dengan ibu tirinya, Cik Puan Seni (balu Alhamrhum Bendahara Tun Ali) dan mendesak Wan Mutahir untuk membunuh Wan Ahmad. Tujuan sebenar Wan Ahmad berbaik dengan Cik Puan Seni adalah untuk mendapatkan sebilah keris Warisan Kerajaan Pahang yang bernama “Tok Bidan”. Wan Ahmad memperoleh keris tersebut dengan bantuan Dato Camang Gagah.

Menurut sumber juga, fitnah itu sebenarnya dijadikan alasan utama sedangkan Wan Mutahir tidak mengiktiraf wasiat almarhum ayahandanya Bendahari Tun Ali, yang telah menyerahkan Kuantan di bawah Pentadbiran Wan Ahmad.

Dato Camang Gagah telah memihak kepada Wan Ahmad kerana mereka sudah lama bersahabat dan ditambah, Tun Fatimah binti Muhammad isteri kepada Wan Ahmad merupakan saudara beliau. Persengketaan dengan Inggeris di Seri Menanti telah membuatkan beliau meninggalkan Negeri Sembilan dan berjalan kaki menuju Pahang melalui Sungai Semantan dan Kuala Bera bersama isterinya, Aminah yang kebetulan telah jatuh sakit dan meninggal di Lubuk Tua, Kuala Bera.

Wan Ahmad sedar akan fitnah dan ancaman bunuh terhadap beliau tersebar. Beliau telah membuat keputusan untuk berundur bersama Dato Camang Gagah ke Kemaman, Terengganu. Kemudian ke Sungai Pahang dan mudik hingga ke Kuala Bera sampai ke Penarik, dan berjalan kaki  hingga ke Ulu Muar dan menaiki Kapa Laut hingga ke Kampung Gelam, Singapura bagi menemui sahabat mereka disana.

E.A. Blundell, Gabenor Singapura (1855-1859) tidak memandang berat akan kehadiran Wan Ahmad ke Singapura, meskipun Temenggong Ibrahim, Johor cuba mempengaruhi Blundell supaya menghalau Wan Ahmad keluar dari Singapura. Temenggong Ibrahim bersungguh-sungguh kerana beliau merupakan besan kepada Wan Mutahir.

Atas hubungan Dato Camang Gagah yang meluas, mereka telah mendapat sokongan pahlawan dari Singapura antaranya Tuan Sheikh Mohsin, Imam Perang Mahkota, Tuan Mandak Al-Jaffari, Imam Perang Gendut dan beberapa orang lagi. Setelah mendapat bantuan daripada pahlawan Melayu di Singapura, Wan Ahmad dan Dato Camang Gagah dapati mereka belum boleh melancarkan serangan atas beberapa faktor, namun persediaan mereka dijalankan dengan rapi. Mereka telah belayar ke Kemaman. Sultan Zainal Abidin yang memerintah Terengganu pada waktu itu juga menyokong Wan Ahmad.

Di Kemaman, mereka memantapkan lagi barisan pahlawan yang telah dikumpulkan dan terus belayar ke Kuala Pahang, kemudian ke Kampung Marhum dan seterusnya ke Kampung Pulau Jawa untuk menguji angkatan Wan Mutahir yang diterajui oleh Engku Saiyid bersama anaknya Tuan Embong. Mereka tidak dapat menahan asakan daripada angkatan Dato Camang Gagah dan berundur ke Kubu Wan Mutahir di Kampung Gancong. Selepas itu Engku Saiyid berkubu pula di Teluk Ketapang dan Kampung Cina. Engku Panglima Besar Wan Ismail dan Datuk Perba Jelai Wan Idris pula berkubu di Kampung Pulau Keladi.

Dato Camang Gagah telah dibantu oleh Imam Perang Rasu Tok Gajah bin Datuk Basirun, Saiyid Idrus, Wan Dagang dan Wan Lambak serta 500 orang hulubalang bersenjata dengan mudah dapat mengatasi kesemua kubu-kubu itu. Wan Mutahir dan angkatannnyat terpaksa berundur dan serangan berterusan dengan menyerang Kubu Wan Mutahir di Kampung Gancong. Setelah bertempur selama lima hari, angkatan Wan Mutahir telah berundur ke  Kampung Chenor.

Angkatan Dato Camang Gagah telah mudik ke Pulau Manis dan menunggu angkatan Wan Mutahir dari Kampung Chenor yang dalam perjalanan untuk melakukan serangan balas ke atas bandar Pekan. Mereka bertempur seharian suntuk dan berjaya mengundurkan angkatan Wan Mutahir. Pasukan Dato Camang Gagah telah membina kubu di Kampung Gancong dan Langgar dan bertahan disitu selama 3 bulan. Angkatan Dato Camang Gagah telah kehilangan semangat juang kerana terlalu lama berjauhan dengan keluarga akhirnya mereka telah tewas dalam satu serangan mengejut yang dilancarkan oleh musuh yang pada waktu dipimpin oleh Sultan Garang.

Mendapat Gelaran Dato Bahaman 
Setelah tewas, angkatan Dato Camang Gagah telah berundur ke Kemaman untuk memantapkan angkatan perang serta menyusun strategi baru. Mereka mula melancarkan perang saraf untuk mempengaruhi rakyat di kawasan Ulu Pahang seperti di Tembeling, Lipis, Jelai, Temerloh, Chenor untuk bangkit menentang kezaliman pemerintahan Wan Mutahir bersama anaknya Tun Qurish dan Wan Da.

Gerakan ini berjaya mempengaruhi rakyat Pahang dan mereka telah bersumpah untuk taat setia menyokong untuk menaikkan Wan Ahmad sebagai pemerintah Pahang. Buat kali kedua, angkatan Wan Ahmad berjaya dibina semula dengan pimpinan Dato Camang Gagah dan mereka mula melancaran serangan. Dari Kemaman ke Kuantan, kemudian ke Sungai Miang di Pekan dan menyerang pasukan Wan Mutahir di Endau dan mereka beroleh kemenangan dengan rampasan perang yang banyak termasuk makanan dan senjata.

Pasukan Dato Camang Gagah telah pulang semula ke Kemaman, dan mereka mudik Sungai Dungun  hingga ke hilir Sungai Tembeling dan bersatu dengan angkatan Wan Ahmad di Ulu Pahang yang sedang menuju ke Pekan untuk menyerang kedudukan angkatan Wan Mutahir.

Pada waktu itu, angkatan Wan Mutahir, Tun Qurish, dan Wan Da di Chenor makin lemah dan ramai pembesar Pahang telah memihak kepada Wan Ahmad. Serangan Dato Camang Gagah telah mencapai kemangan tanpa rintangan besar. Pengikut Wan Mutahir yang melarikan diri dan berlindung dengan orang-orang Bugis yang diketuai oleh Suliwatang juga dapat dikalahkan oleh Dato Camang Gagah.

Kejayaan di Chenor telah menyemarakan Dato Camang Gagah dan para hulubalangnya. Dengan kekuatan 1500 orang hulubalang lengkap bersenjata, telah melancarkan serangan ke atas Wan Mutahir di Kubu Tanjong Parit, Kampung Baru. Kubu di Kampung Masjid pula telah diserang oleh Imam Perang Rasu Tok Gajah. Kesemua kubu ini dapat ditawan pada 10 Jun 1863. Wan Mutahir dan anakandanya Tengku Qurish melarikan diri ke Kuala Pahang dan belayar ke Johor. Mereka berdua telah jatuh gering dan mangkat dan disemadikan di Tanjung Puteri (Johor Bharu).

Setelah Dato Camang Gagah berjaya mengamankan pengikut Wan Mutahir, keadaan di Pahang menjadi aman dan tenteram. Beliau juga telah ke Kuala Terengganu dan menjemput Wan Ahmad kembali ke Pahang. Dalam tahun 1863 jugalah Wan Ahmad telah ditabalkan sebagai Bendahara Pahang dengan gelaran Bendahara Sewa Raja.

Bendahara Sewa Raja Wan Ahmad telah berkenan melantik Dato Camang Gagah sebagai Orang Kaya Setia Semantan Pahang dan digelar juga sebagai Dato Bahaman dengan mengambil nama asal beliau Tengku Abdul Rahman. Akhirnya, gelaran Dato Camang Gagah telah luput apabila nama Dato Bahaman itu lebih dikenali dan diingati oleh rakyat Pahang. Selaku Orang Besar Pahang, Dato Bahaman telah diberi kuasa untuk memerintah dan memungut cukai di kawasan Semantan (Lancang) hingga ke Genting Bidai bersempadan antara Pahang dan Selangor serta di semua anak Sungai Semantan hingga ke puncak air meleleh dan di sempadan Perak dan Kelantan.

Bendahara Sewa Raja Wan Ahmad juga telah melantik Imam Rasu bin Dato Basirun yang juga anak saudara Dato Bahaman sebagai Orang Besar Pahang dengan gelaran Imam Perang Rasu Tok Gajah. Beliau diberi kuasa memerintah Kuantan hingga bersempadan dengan Kemaman, Raub dan Jerantut.

Sokongan daripada Dato Bahaman dan Tok Gajah telah membuatkan Pahang di bawah pemerintahan Bendahara Sewa Raja Wan Ahmad aman dan tenteram. Hinggalah British mula mencampuri urusan pentadbiran Istana di Pekan seperti mana mereka ganggu pentadbiran di Seri Menanti.

 Dato Bahaman Pencetus Kebangkitan Pantai Timur : Episod 4 – Berperang dengan British!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...