Tuesday, February 25, 2014

Episod 2 : Adruja Wijayamala Singha - Siapa Raja Rama Khamheng

Raja Rama Khamheng
Pendahuluan
Semenjak zaman Deman Lebar Daun lagi, Raja Surandera (1233-1253) telah diberi kuasa untuk memerintah di Jawaka iaitu sebuah kawasan di Utara Semenanjung Tanah Melayu atau lebih tepat di Segenting Kra, kemudian diganti oleh Maharaja Sakranta (1253-1267) dan diteruskan oleh Raja Thilam (1267-1335).

Kerajaan Jawaka juga dikenali sebagai GRAHI semenjak dari zaman Raja Surendra yang membawa hagemoni Sriwijaya di Semenanjung Tanah Melayu ketika hayat Deman Lebar Daun lagi. Kewujudan Grahi ini pastinya menimbulkan perseteruan dengan negara serantau dan dalam hal ini Siam Sukhotai menjadi ancaman utama kepada kekuasaan Grahi di Segenting Kra. Ancaman Sukhothai terhadap Grahi telah bermula apabila Raja Rama Khamheng mula memperluaskan kuasanya ke Selatan seawal pemerintahan Maharaja Sakranta.

Rama Khamheng
Bangsa Melayu mengenali Raja Siam ini sebagai Raja yang Zalim dan banyak sejarah mencatatkan ianya sebegitu, namun jarang kita mengetengahkan latar belakang Raja Sukhothai ini. Mengikut catatan Siam, Rama Khamheng dilahirkan pada 1237 atau 1247 dan tarikh kematiannya mungkin dikaburkan dalam sejarah Siam hanya dicatat mangkat pada 1298.

Nama penuhnya Pho Khun Ram Khamheng merupakan Raja Sukhothai yang ke-3 selepas diasaskan oleh ayahnya  Raja Sri Indraditya, ibunya bernama Permaisuri Sueang dan mempunyai dua saudara lelaki dan dua saudara perempuan. Abangnya yang tua, telah meninggal sewaktu kecil dan abangnya yang kedua, Ban Muang telah menggantikan ayahanda mereka pada 1257 dan mangkat pada 1277. Kemudian Rama Khamheng telah menaiki takhta menggantikan Ban Muang. Tarikh sebenar beliau menaiki takhta Sukhothai masih samar-samar dan ada pendapat dari sejarahwan Thailand bahawa Rama menaiki takhta pada 1279 iaitu pada tahun beliau menanam "pokok Thal atau Pokok Kabung" sebagai simbolik kepada pertabalan Raja Siam. Mengikut Prasoet Na Nakhon iaitu Institut Adat Istiadat Di Raja Thai menyatakan bahawa setiapa kali pertabalan, Raja yang ditabal akan menanam pokok Beringin atau pokok Kabung ini dengan harapan kekuasaan mereka akan kekal seperti mana usia pokok tersebut.

Ketika berusia 19 tahun, beliau telah terlibat dengan usaha ayahandanya untuk menakluki bandar Sukhothai yang pada waktu itu merupakan taklukan Khmer. Sumbangan beliau dalam serangan ini amat besar hingga mendapat gelaran Phra Ram Khamheng yang bermaksud Rama yang Berani. Semasa pemerintahan abangnya, Ban Muang, Ram Khamheng diberi kuasa untuk memerintah di Sit Sat Chanalai. 

Hubungan Sukhothai dengan China
Semasa pemerintahan Ramkhamheng, Sukhothai telah menjalinkan hubungan dengan China sewaktu pemerintahan Dinasti Yuan, sebuah Empayar Mongol dan berlakulah pemindahan teknologi antara kedua-dua kerajaan ini, paling menonjol adalah pemindahan kepakaran membuat barangan seramik ke Sukhothai yang dikenali sebagai Sangkhalok. 

Perluasan kuasa Sukhothai dilakukan bersama-sama Ban Muang dan Ramkhamheng, dimana Raja Rama meluaskan kuasa Sukhothai kearah Selatan manakala Ban Muang ke arah Utara. Kerajaan Sukhothai pada masa tersebut mendapat sokongan daripada orang-orang Mon dibawah Wareru yang dikatakan telah berkahwin dengan puteri Khamheng ketika melarikan diri daripada penguasaan Kerajaan Pagan yang kemudiannya dikenali sebagai Negara Pegu.

Jelas disini bahawa Alam Melayu menghadapi pelbagai ancaman selepas keruntuhan Sriwijaya. Pagan menyerang Mon, Sukhothai dari China menyerang pendudukan Khmer di Segenting Kra, yang kekal adalah JAWAKA yang juga dikenali sebagai GRAHI dalam chronic China dapat menangkis ancaman daripada Sukhothai sewaktu pemerintahan Maharaja Sakranta dan terus bertahan sehingga pemerintahan Raja Thilam@Sang Tawal.

Khamheng Menyerang Selatan
Raja Rama Khamheng sememangnya diberikan kuasa untuk memerintah Sukhothai bersama abangnya dan beliau memainkan peranan untuk meluaskan kuasa Sukhothai ke selatan iaitu ke Semenanjung Tanah Melayu.

Usaha ini berkemungkinan dilaksanakan sejak dari awal lagi iaitu ketika Maharaja Sakranta yang juga dikenali sebagai Sultan Aminuddin (1253-1267) memerintah Grahi. Namun ekspansi Sukhothai ini dapat dipatahkan dan diteruskan oleh Raja Thilam yang popular dengan gelaran Sang Tawal (1265-1335). Adruja Wijayamala Singha dilahirkan ketika Grahi tidak lekang dari usaha mematahkan serangan Sukhothai yang hari demi hari semakin rancak melakukan penaklukan.

Sang Tawal telah mengarahkan satu pembinaan Kota yang kukuh untuk menghalang serangan Sukhothai dari menceroboh ke Semenanjung Tanah Melayu. Setelah kota ini siap didirikan, ia dinamakan sebagai Kota Grahi. Kota ini memang terkenal sehingga tercatat dalam cronik China yang dikenali sebagai kia-lo-hi.

Setelah kemangkatan kekandanya Phra Ban Muang, Ram Khamheng telah ditabalkan sebagai Raja Sukhothai baru dan usaha meluaskan kuasa ke Selatan semakin rancak...hinggalah kepada perjuangan terakhirnya dengan Adruja Wijayamala Singha!

Bersambung... 
Dicatatkan seawal
http://en.wikipedia.org/wiki/Ram_Khamhaeng
http://en.wikipedia.org/wiki/Sukhothai_Kingdom
http://sejarahbangsamelayuyanghilang.blogspot.nl/2011/12/adruja-wijayamala-singa-puteri-wirawati.html

Monday, February 17, 2014

Pengenalan : Adruja Wijayamala Singha - Siapakah Gerangannya?

ADRUJA WIJAYAMALA SINGA

Pengenalan-Siapa Adruja
Srikandi Melayu yang paling masyhur dalam Sejarah Kelantan dan antara yang popular di Malaysia adalah Che Siti Wan Kembang. Nama ini merujuk kepada beberapa individu yang menggunakan nama yang sama dan masing-masing mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Artikel ini pula menumpukan kepada sosok individu yang mempunyai konflik dengan Raja Siam zaman Ayuthaya, Raja Khamheng. Sosok yang dimaksudkan adalah Adruja Wijayamala Singa yang juga dikenali sebagai Che Siti Wan Kembang I.

Banyak penulisan telah dihasilkan mengisahkan siapa sebenarnya Adruja ini. Artikel ini pula mengambil pendekatan menyelidik dari awal iaitu tentang Maharaja Sang Tawal. Penghuraian artikel ini adalah berdasarkan Royal Ark yang memuatkan hampir keseluruhan data tentang Keluarga DiRaja seluruh dunia ini walaupun ada mendakwa ia tidak lengkap dan tidak tepat. Benar atau tidak dakwaan itu, laman tersebut menjadi rujukan utama dalam mengkaji genealogy atau salasilah. Selain dari itu, kami juga merujuk kepada buku Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Penting terbitan Muzium Kelantan 1981. Sumber ini lebih awal dari munculnya nama Grahi itu.

Sumber : Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Perinstiwa Penting, MuziumKelantan 1981

















Berdasarkan dari Salasilah ini, Cik Siti Wan Kembang@Dewi Durga@Raden Galuh Gemerchang@Hulubalang Tunggal@Arduja Wijayamala Singa adalah keturunan pemerintah Kelantan zaman berzaman. Keturunan Adruja Wijamala Singa bermula dari Maharaja Srimat Trailokyaraja yang juga Maharaja Bukit Siguntang (hingga 1233), kemudian dititihkan kepada moyang beliau iaitu Raja Surendra@Maharaja Suran pemerintah kerajaan Jawaka (1233-1253). Datuknya pula Raja Sakranta juga memerintah kerajaan Jawaka (1253-1267) dan kemudian tiba pada ayahandanya, Raja Thilam yang juga dikenali sebagai Raja Sang Tawal juga Raja Malawika yang memerintah Malayur (1267-1335).

Adik beradik Arduja Wijayamala Singa@Cik Siti Wan Kembang seperti berikut:
  1. Raja Bharubhasa (Raja Langkasuka : 1335-1345) dan (Raja Kelantan : 1345-1362)                  Nama lain bagi beliau adalah: Sultan Mahmud, Raja Chermin, Sultan  Jiddah Riayat Sa’adatus Salam.
  2. Raja Singadhiraja (Sultan Sulaiman Syah), Raja Langkasuka
  3. Puteri Chandana kahwin dengan al-Malikuzahir, Raja Samudera
  4. Puteri Tapasi (Raden Galuh Anjang) kahwin dengan Jaya Sinha Warman, Raja Champa.
  5. Cik Siti Wan Kembang, Raja Kelantan Selatan : 1318-1348
  6. Puteri Linang Cahaya kahwin dengan Sayyid Jamadil Qubra.

Adruja Wijayamala Singa adalah nama dalam bahasa Sanskrit dan maksud nama itu adalah seperti berikut:

  • Adruja merupakan acronym bagi sebutan “Adhi Raja” yang bermaksud raja besar, mulia, tinggi darjatnya, yang utama, yang terbaik, dan pemuka pasukan perang.
  • Wijayamala merujuk kepada sejenis bunga seroja yang dikatakan dapat menghidupkan orang yang mati.
  • Singa pula adalah variasi kepada sebutan Simha yang bermaksud Singa, Raja segala haiwan.


Namun, kami tidak menolak akan pengisahan sejarah Cik Siti Wan Kembang melalui kajian oleh Allahyarham Dato Haji Adi Taha dan rakan-rakan seangkatannya yang menyatakan moyangnya Raja Suran yang memerintah Jawaka dan berpusat di Kota Grahi, manakala ayahanda Adruja Wijayamala Singa@CSWK. Raja Thilam adalah pemerintah ketiga Grahi.

Kerajaan di Segenting Kra
BERSAMBUNG...


Sunday, February 16, 2014

Episod 1 : Adruja Wijayamala Singha - Warisan Deman Lebar Daun

Prasasti Grahi 
Pendahuluan:
Episod pengenalan kami nyatakan akan asal keturunan Adruja Sriwijaya Mala dan kami telah sertakan satu salasilah yang berkaitan dengan Keturunan Raja-Raja Kelantan dan ia bermula dengan Srimat Trailokyaraja Maulibhusana Warmadewa dan beliau juga dikenali sebagai Deman Lebar Daun yang begitu masyhur dalam salasilah Raja-Raja Alam Melayu.

Siapa bernama Demang Lebar Daun ini?

Berdasarkan kepada Sejarah Melayu, Deman Lebar Daun memerintah di Palembang dan ketika waris Iskandar Zulkarnain iaitu:
  • Nila Pahlawan
  • Krishna Pendita
  • Nila Utama  
Mereka ini adalah Putera Raja Suran yang diriwayatkan turun ke dalam laut dan berkahwin dengan Puteri Mahtabul Bahri, anak Raja Aftabul Ard yang memerintah Kerajaan Basram di bawah laut... diriwayatkan lagi, mereka semua telah naik ke darat dan mendarat di Bukit Siguntang, kelihatan seperti mitos namun ada yang percaya kerana ini berkaitan dengan Metafizik dan ia belum pernah dikaji secara saintifik, mungkin mitos ini ada benarnya, kerana kejadian Alam Sukar ditaakul  akal biasa.

Setelah putera-putera Raja Suran titihan Iskandar Zulkarnain mendarat di Bukit Siguntang, dalam negeri Palembang, setibanya di bukit tersebut, mereka telah disambut oleh Wan Empuk dan Wan Malini yang sedang berladang di kawasan tersebut. Dipendekkan cerita, Nila Pahlawan telah berkahwin dengan Wan Empok, Krishna Pendita pula berkahwin dengan Wan Malini, manakala Nila Utama telah menukar nama sebagai Sang Sapurba.  

Perkhabaran tentang pendaratan waris Iskandar Zulkarnian telah menarik  minat Raja-Raja sekitar Palembang mengunjungi Bukit Siguntang. Mereka datang bersama ahli keluarga, Sang Sapurba telah mengambil puteri-puteri Raja yang datang dan diperisterikan oleh beliau. Raja-Raja ini tidak membantah malahan mereka rasa bertuah kerana dapat bermenantukan waris Raja yang Paling Agong dalam alam. Namun, puteri-puteri yang dikahwini oleh Sang Sapurba telah mengalami penyakit "kedal" stelah digauli oleh baginda, perkara ini berlaku kerana ketinggian daulat baginda.

Baginda Deman Lebar Daun juga tidak ketinggalan melawat Sang Sapurba, dan ditakdirkan waris Iskandar Zulkarnain itu jatuh hati kepada puteri baginda, Wan Sedari. Bimbangkan anakandanya, Deman Lebar Daun telah mengadakan satu perjanjian:

“Jikalau anak patek tuanku peristeri, nescaya kedal ia. Tetapi jikalau tuanku mahu berwa’adat (berjanji sumpah setia) dengan patek, maka patek persembahkan anak patek ke bawah duli Yang di-Pertuan.”

Mengikut Sejarah Melayu, Demang Lebar Daun adalah orang yang pertama menggunakan bahasa “Yang di Pertuan” dan “Patek” apabila bercakap dengan raja, kerana Sang Sapurba itu keturunan raja-raja besar… Maka titah Sang Sapurba: “Apa yang dikehendaki oleh bapaku itu?”

Sembah Demang Lebar Daun: “Adapun tuanku, segala anak cucu patek sedia akan jadi hamba ke bawah duli Yang di-Pertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinista dengan kata-kata jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Shara’.”

Sang Sapurba pun bertitah: “Akan minta bapa itu hamba kabulkanlah. Tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba…”“Janji yang mana itu, tuanku?”“Hendaklah akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita. Jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekali pun”. Baiklah tuanku. Tetapi jikalau anak buah tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patek pun mengubahkanlah.”Titah Sang Si Perba: “Baiklah, kabullah hamba akan wa’adat itu.”

Begitulah tinggi martabat Srimat Trailokyaraja Maulibhusana Warmadewa a.k.a Deman Lebar Daun bermenantukan Sang Sapurba waris Raja yang Agong, Iskandar Zulkarnain. Tercatat dalam salasilah Kelantan bahawa Deman Lebar Daun ini mempunyai 3 orang putera juga menantu yang dominan iaitu:

  • Raja Surendra, Maharaja Jawaka
  • Sang Sapurba, Raja Palembang
  • Ken Arok, Raja Singhasari
Selidikan Lanjut
Sumber lain menyatakan bahawa Deman Lebar Daun ini merupakan Maharaja Melayu di Dharmasraya dan juga dianggap sebagai Maharaja Sriwijaya hal ini dapat dibuktikan dengan Prasasti Grahi yang bertarikh 1183 yang ditemui di Chaiya, Thailand. 

Dari segi bahasa (etimologi) Trailokya dalam Bahasa Sanskrit membawa maksud "Tiga Dunia", "Tiga Tingkatan", "Tiga Kehidupan", "Tiga Alam", & "Tiga Wilayah". 

Sejarahwan menganggap semasa pemerintahan Deman Lebar Daun ini Alam Melayu sedang mengalami perubahan kuasa, pada mula ia dikuasi oleh Sriwijaya yang dirujuk sebagai San-fo tsi dalam chronic China, telah bertukar kepada Dharmasraya.

Sekadar begini boleh kami sampaikan untuk mengenali siapa sebenarnya Deman Lebar Daun, pokoknya dari baginda lahir ramai Raja-Raja yang memerintah Alam Melayu kerana beliau adalah penguasa Alam Melayu.

Petikan Teks 
Kami kongsikan petikan daripada sejarahwan mengenai leluhur Raja-Raja Alam Melayu.

Pada tahun 1183M, berdasarkan Prasasti Grahi, menginformasikan kepada kita, Kerajaan Sriwijaya (beribukota di Dharmasyara) telah kembali bangkit, dan berhasil menguasai daerah hingga Thailand Selatan, selepas kehancurannya akibat serangan Kerajaan Chola. Pada masa itu, Kerajaan Sriwijaya-Dharmawangsa, dipimpin seorang Maharaja yang dikenal dengan nama Sri Maharaja Srimat Trailokyaraja Maulibhusana Warmadewa. 
Para ahli genealogy percaya bahwa Sri Maharaja Srimat Trailokyaraja Maulibhusana Warmadewa, adalah nama lain dari Maharaja Imbang Jaya atau Maharaja Sambugita,  yang disebut-sebut di dalam silsilah raja-raja Melayu 
Sekitar 100 tahun kemudian, pada tahun 1286M, berdasarkan prasasti yang ditemukan di komplek Candi Padang Roco Sumatera Barat, diketahui bahwa Negeri Sriwijaya di Pedalaman dipimpin oleh seseorang yang bergelar Sri Maharaja Srīmat Tribhuwanaraja Mauliwarmadewa.­­­  
Srī Mahārāja śrīmat tribhuwanarāja mauliwarmadewa, adalah generasi penerus Sri Maharaja Srimat Trailokyaraja Maulibhusana Warmadewa, yang diyakini sebagai kakek dari Adityawarman (Maharajadiraja Srīmat Srī Udayādityawarma Pratāpaparākrama Rājendra Maulimāli Warmadewa), pendiri Kerajaan Pagaruyung.
Kanzunqalam.com 

Genaealogi Adruja Wijayamala Singha
Di awal artikel telah dinyatakan perkaitan Adruja dengan Srimat Trailokyaraja atau Deman Lebar Daun. Juga telah dinyatakan tentang 3 orang waris baginda iaitu, Sang Sapurba atau Sang Nila Utama adalah menantunya yang diberi kuasa memerintah di Palembang, Ken Arok memerintah di Singhasari dan Raja Surendra memerintah di Jawaka.

Adruja adalah cucu daripada Raja Surendra yang dikatakan memerintah Jawaka yang berlokasi di Utara Semenanjung Tanah Melayu, datuknya pula adalah Raja Sakranta dan ayahandanya adalah Raja Thilam yang memerintah Malayur.... Siapa mereka ini akan kami bawakan dalam pengisahan yang berasingan.

Legasi Deman Lebar Daun bukan sekadar di Bumi Suwarnadwipa tetapi ia tersebar keseluruhan daratan dan kepulauan Alam Melayu dan dari keturunan ini lahir wira-wirawati Melayu yangterbliang.


Kami adalah insan yang kerdil, menyampaikan apa yang diketahui melalui pembacaan yang terhad. Kami tidak mencari nama, kami tidak juga mencari pangkat atau mengangkat darjat. Niat kami agar anak Melayu kekal dengan jati diri sebagai seorang Melayu. 
Pada yang arif sila tegur kami, jika ada kurang, tambah lah lagi. Jangan ditempelak dengan niat untuk memperlekeh, Bangsa Melayu memang nyata!


Bersambung...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...