Saturday, May 17, 2014

Dato Bahaman; Pencetus Kebangkitan Pantai Timur - Episod Pengenalan

SIRI PANTAI TIMUR : PAHANG

Dato Bahaman (akuanakpahang.blogspot.com)


Pendahluan
Gerakan kebangkitan orang-orang Melayu di negeri Pantai Timur Semenanjung jarang diketengahkan secara mendalam dalam pengkajian sejarah arus perdana. Sekalipun ada, ianya merupakan satu disertasi pengajian pada peringkat Sarjana Muda ataupun Sarjana, selepas dibentangkan ia sepi menjadi satu koleksi bahan arkib dan sukar diakses oleh pengkaji kerana ia menjadi hakmilik Universiti atau Pusat Pengajian dan ada diantaranya diklafikasi sebagai terhad.

Produksi majalah dan surat khabar pula hanya bergantung kepada nilai komersial dan hanya menerbitkan artikel yang bersifat populis dan memberi impak kepada masyarakat. Di zaman teknologi maklumat ini, platform blog telah mencambah penulis-penulis yang dilabel oleh media arus perdana sebagai satu kelompok amatur.

Justeru, maka lahirlah artikel yang mutunya amat rendah kerana amalan “copy paste” dan ada antara penulis blog ini menyusun atur maklumat yang sama hingga ada diantaranya kelihatan seperti sebuah karya dongeng.
Mengambil contoh tentang kisah Dato Bahaman, terdapat maklumat-maklumat jelas tokoh pejuang Melayu Pahang ini dan ianya diterbitkan dalam pelbagai jurnal dan disertasi namun kandungannya kelihatan berat dan sukar dicernakan oleh pembaca. Kerana itu, untuk disesuaikan dengan pembaca terdapat artikel dalam majalah mengurangkan tahap maklumat dan disesuaikan dengan selera pembaca, dan ini menyebabkan maklumat yang sebenar tidak dapat disampaikan.

Kami pula cuba mengetengahkan satu dimensi baru dalam menyelami akar perjuangan Dato Bahaman yang mencetus semangat kebangkitan di Kelantan dan Terengganu hingga ke Patani pada suatu masa dahulu.

Latar Belakang
Berdasarkan kepada bahan bacaan umum yang boleh diakses serendah pelajar sekolah menengah dalam buku teks mereka hanya menyatakan tentang nama Dato Bahaman dan punca-punca kebangkitan beliau sahaja serta orang-orang yang terlibat dalam kebagkitan orang-orang Semantan pada waktu itu.

Sir Hugh Charles Clifford (1886-1941)
Bahan bacaan tinggi sedikit pula seolah-olah menuduh Dato Bahaman sebagai petualang bangsa dan ada artikel yang menyatakan pangkat Dato Bahaman diturun oleh British. Jika dibaca tentang catatan pihak British terutama oleh Hugh Clifford menyatakan secara terus bahawa pemimpin Melayu ini sebagai Pemberontak yang kejam.

Jadi, pembaca membuat kesimpulan bahawa Dato Bahaman bangkit kerana menentang British kerana kuasa beliau telah dipandang rendah seolah-olah beliau tidak lagi berkuasa di Semantan. Inilah pengakhiran mudah yang diambil oleh pembaca yang telah salah tafsir akan perjuangan Dato Bahaman yang sebenar dan mereka terlepas akan peristiwa-peristiwa penting dalam perjuangan Dato Bahaman.

Isu Dato Bahaman juga sebenarnya tidak difahami dengan jelas bagaimana kisah Pahlawan Pahang ini mula meniti di bibir rakyat Pahang yang antaranya mengenal Dato Bahaman ini sebagai “Tok Peramu” satu nama samaran yang digunakan untuk mengelak beliau dikesan kerana Dato Bahaman dan para pengikutnya diburu dengan ketat oleh British hinggalah Mat Kilau tampil mendedahkan diri di khalayak ramai pada 1969 di Kampung Air Tawar.

Tanggapan umum Perjuangan Dato Bahaman
Ini adalah yang difahami oleh generasi kini mengenai perjuangan Dato Bahaman yang sekadar menghafal “isi penting” untuk menjawab soalan peperiksaan umum di Malaysia.

Latar Belakang
  • nama sebenarnya Abdul Rahman bin Imam Noh
  • dianugerahi gelaran Orang Kaya Dato’ Setia Perkasa Pahlawan Semantan
  • diberikan anugerah kerana kegagahan dan keberanian beliau dalam perangsaudara di Pahang dan Perang Klang di Selangor
  • dilantik sebagai pembesar Temerloh setelah kematian Orang Kaya InderaSegara
  • Dato’ Bahaman tidak mengiktiraf pemerintahan British di Pahang
Faktor Penentangan
(a)    Hilang Hak Mengutip Cukai
  • Dato’ Bahaman menentang tindakan British melantik E.A.Wise sebagaiPegawai Majistret dan Pemungut Hasil di daerah Temerloh
  • Dato’ Bahaman dilarang mengutip cukai di daerah kekuasaannya iaitu di Temerloh

(b)   Pembinaan Balai Polis
  • Pegawai British iaitu E.A.Wise mendirikan balai polis di Lubuk Terua tanpaberunding terlebih dahulu dengan Dato’ Bahaman
  • Konflik antara kedua-duanya menjadi lebihserius
  •  Dato’ bahaman menganggap tindakan British sebagai menceroboh kawasanserta mengancam kedudukannya

(c)    Perlucutan Gelaran
  • Hugh Clifford menganggap Dato’ Bahaman sebagai penderhaka keranaenggan mematuhi arahan British
  • British memaksa Sultan Ahmad melucutkan gelaran Dato’ Setia PerkasaPahlawan Semantan
  • tindakan British memalukan Dato’ Bahaman dan beliau bersumpahmenghalau keluar British dari Pahang

(d)   Peristiwa Penentangan
·         16 Disember 1891 British menangkap 3 orang pengikut Dato’ Bahamankerana mengutip hasil hutan tanpa kebenaran
·         tindakan British itu menyebabkan Dato’ Bahaman dan pengikutnyamenyerang Balai Polis Lubuk Terua
·         peristiwa ini mencetuskan perang
·         26 Disember 1891 Hugh Clifford mengetuai pasukan 200 orang tenterauntuk menawan semula Lubuk Terua tetapi tewas dalam pertempuran diKelubi
·         Hugh Clifford berundur dan meminta bantuan Singapura
·         Januari 1892 British memaksa Sultan Wan Ahmad menamatkan kebangkitan rakyat Pahang

Ringkas dan jelas.
Beginilah cara kita belajar mengenai sejarah yang signifikan dalam kebangkitan orang-orang Melayu di Pantai Timur dalam menentang British yang pada waktu itu meresap dalam pentadbiran Sultan yang memerintah tatkala pada Sultan sedang menghadapi ancaman.

Kebanyakkan pengamat sejarah memandang hal ini sebagai satu usaha pihak tertentu dalam melemahkan semangat generasi kini untuk terus tunduk, natijahnya sejarah bangsa yang sebenar diselindung dalam menimbulkan hagemoni pemerintahan baru.

Perjuangan Dato Bahaman sebenarnya adalah pencetus semangat keperwiraan di kalangan orang-orang Kelantan-Terengganu-Pahang. Laungan This is Pantai Timur yang diwarkan-warkan atas nama bola sepak juga boleh menterjemah aspirasi pahlawan-pahlawan Pantai Timur silam dalam ertikata perjuangan kebangkitan semangat perwira yang sebenar.

Sekadar ini dahulu untuk episod pengenalan ini, nantikan artikel kami yang seterusnya untuk membongkarkan tentang Dato Bahaman yang bertajuk Dato Bahaman Pencetus Kebangkitan Pantai Timur : Episod 2 - Keperibadian



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...