Sunday, May 18, 2014

Dato Bahaman Pencetus Kebangkitan Pantai Timur : Episod 2 – Keperibadian

SIRI PANTAI TIMUR : PAHANG

Tok Guru Peramu

Pendahluan

Artikel ini akan membicarakan tentang latar belakang dan asal usul Dato Bahaman secara khusus. Maklumat yang dimuatkan dalam nukilan kami pada kali ini diambil dari pelbagai sumber, sama ada kajian ilmiah yang termuat dalam jurnal, blog, dan juga buku.

Sebelum membicarakan secara khusus mengenai Dato Bahaman, kami fikir adalah penting untuk kita ketahui bagaimana kisah Dato Bahaman mendapat perhatian meluas seluruh penduduk Malaysia yang pada waktu itu baru 10 tahun (lebih kurang) merdeka pada waktu itu.

Perjuangan Dato Bahaman pada awalnya mendapat liputan meluas setelah Mat Kilau mendedahkan diri pada khalayak ramai pada 1969 di Kampung Air Tawar setelah bersembunyi dan menyamar buat sekian lama. Pendedahan Mat Kilau telah mendedahkan bahawa Dato Bahaman juga masih hidup dan Kerajaan Negeri Pahang telah menubuhkan satu Jawatankuasa untuk menyiasat tentang latar belakang “Tok Peramu” seorang tua yang tinggal di Kampung Peramu di pinggir Sungai Kuantan pada tahun 1971 yang didakwa sebagai Dato Bahaman seperti mana didedahkan oleh Mat Kilau.

Kerajaan Negeri Pahang di bawah pentadbiran Menteri Besar yang berlainan iaitu Datuk Haji Abdul Aziz Ahmad (1972-1974) hingga Datuk Seri Haji Muhammad Jusuh (1974-1978) tidak mengeluarkan sebarang pengesahan mengenai Tok Peramu dan hasil siasatan yang dijalankan selama tiga tahun iaitu dari 1971-1974 oleh Jawatankuasa yang dibentuk Kerajaan Negeri Pahang dipandang sepi oleh pihak pemerintah pada waktu itu hinggalah Tok Peramu itu meninggal pada 1977.

Mungkin apa yang kami ceritakan ini satu versi lain tentang Dato Bahaman. Maklumat yang kami sampaikan ini adalah mengenai selidikan tentang Tok Peramu, jadi maklumat seterusnya ini adalah berdasarkan kepada satu sosok manusia yang digelar sebagai Tok Peramu oleh penduduk setempat pada masa itu.
 
Dari kanan: Mat Kilau, Mat Kelantan, Tok Raja Ibrahim dan Ajrah,
Isteri Mat Kilau di Pusat Latihan Pertanian Paya Besar, Jalan Gambang 1970.
Siapa Tok Peramu
Mengikut buku Siapa Sebenarnya Tok Peramu susunan Azahar Rahman 1982 merupakan seorang tua yang amat berahsia. Mungkin atas sebab berahsia inilah Kerajaan Negeri Pahang pada waktu itu tidak mengesahkan siapa sebenar Tok Peramu ini tetapi anak murid dan orang yang rapat dengan Tok Peramu mengetahui siapa sebenarnya beliau. Begitulah yang ditekankan oleh saudara Azahar Rahman dalam buku beliau itu.

Tok Peramu juga dikenali sebagai Tok Guru Peramu pada awalnya lebih dikenali sebagai seorang bomoh dan beliau sering dikunjungi oleh orang ramai dari pelbagai lapisan bangsa dan kaum dan ada antara mereka terdiri daripada kalangan pemimpin pada masa tersebut. 50 tahun dahulu, istilah Perubatan Islam tidak menonjol dan masyarakat kita pada masa tersebut hanya mengenali istilah bomoh.

Semasa Perang Dunia Kedua 1941-1945 di Tanah Melayu, kebanyakkan penduduk Tanjung Lumpur, Padang Lalang, Kampung Padang, dan Kampung Peramu berpindah berdekatan pondok Tok Guru Peramu, kerana bimbang dengan ancaman askar Jepun. Tok Guru Peramu hanya memasang bendera Merah empat penjuru di kawasan pondok di atas tanah seluas dua ekar dan sepanjang 5 tahun itu, mereka tidak pernah diganggu oleh askar Jepun walaupun bandar Kuantan sering dihujani peluru daripada udara. Waktu Perang Dunia tamat, Tok Peramu dapat lihat dengan jelas dari pondoknya tentang apa yang dibawa naik dan dibawa turun oleh kapal terbang Inggeris di Pengkalan Tentera yang terletak di Kilometer 16, Jalan Gambang.

Begitulah antara input yang dikumpulkan oleh saudara Azahar Azman mengenai Tok Peramu. Kisah mengenai tokoh ini makin menjadi tumpuan apabila Mat Kilau membuat pendedahan bahawa ketuanya masih lagi hidup dan tinggal tidak jauh dari 8 kilometer dari Jalan Gambang. Semenjak dari itu, orang ramai berpusu-pusu mengunjungi Tok Peramu hingga memaksa Kerajaan Pahang di bawah pimpinan Datuk Haji Abdul Aziz bin Ahmad, Menteri Besar pada waktu menubuhkan satu Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Datuk Ibrahim bin Haji Arshad, Ahli Exco Kerajaan Negeri pada waktu itu untuk menyiasat latar belakang Tok Peramu itu.

Namun, Jawatankuasa ini menemui jalan buntu kerana Tok Peramu amat berahsia mengenai identiti beliau sendiri dan siasatan mengenai orang tua itu memakan masa dan perlu mengumpul maklumat dari tokoh-tokoh silam yang lain.

Menurut saudara Azahar Azman lagi, Tok Peramu akan menceritakan identiti beliau sebagai Dato Bahaman sepertimana dakwaan Pahlawan Mat Kilau kepada anak murid dan juga ahli keluarga yang rapat dengan beliau. Menurut Azahar lagi, Tok Peramu amat berahsia mengenai hal ini untuk mengelakkan dirinya daripada melanggar sumpah yang beliau lafazkan bersama pahlawan-pahlawan Pahang yang lain di Sungai Salan, Pulau Tawar – Jerantut sebelum tercetusnya pemberontakan menentang Inggeris pada 1891.

Pengetahuan Luas
Orang ramai menjadi yakin bahawa Tok Peramu sebagai Dato Bahaman kerana beliau mampu memperincikan perang yang berlaku di waktu silam seperti:
  • Perang di Kuantan,
  • Kuala Sungai Parit,
  • Kampung Masjid,
  • Kampung Langgar di Pekan,
  • Semantan,
  • Jerantut,
  • Raub,
  • Bentong,
  • Ulu Tembeling,
  • Selangor,Perak,Negeri Sembilan,Johor,Terengganu,Kelantan
Malah beliau juga mampu memperincikan tentang perang yang berlaku di
  • Golok,
  • Cheang Mai dan
  • Patani.


Pada waktu itu, masyarakat umum tidak mengetahui akan kisah perang yang berlaku ini melainkan orang-orang yang terlibat dalam peperangan yang dinyatakan oleh Tok Peramu itu. Kerana itu, orang ramai yakin dialah Dato Bahaman yang sebenarnya.

Mengenai Pahang, beliau boleh memperincikan beberapa peperangan yang berlaku di zaman pemerintahan Almarhum Sultan Ahmad, antaranya:
  • Perang Saudara antara Wan Mutahir dengan Wan Ahmad
  • Perang Semantan
  • Perang Kuala Parit
  • Perang Lubuk Terua
  • Perang Kuala Tembeling
  • Perang Jeram Ampai
  • Perang Lubuk Senggarat
  • Perang Genting Bidai
  • Perang Bukit Berapit
  • Perang Tanjung Putus (Negeri Sembilan)
  • Perang Naning

Rapat dengan Pahlawan Silam
Selain daripada pengetahuan yang mendalam mengenai perang-perang yang tidak diketahui oleh masyarakat umum, Tok Peramu juga mendakwa mengenali dengan rapat pahlawan silam seperti :
Imam Perang Rasu Tok Gajah
  • Mat Kilau
  • Mat Lela
  • Panglima Garang Yusoff
  • Teh Ibrahim
  • Awang Nong
  • Mat Kelantan
  • Raja Ibrahim
  • Panglima Hitam
  • Batin Tok Selampit (Perak)
  • Batin Kalmak (Klau, Semantan)

Tok Peramu juga sering bertanya kepada tetamu yang datang dari Daerah Temerloh tentang Umbi Pokok Merbau Besar di Lubok Senggarat di Semantan dan Bunga Cempaka di Seberang Sungai Telang,Bukit Pelindong-Kuala Lipisi kerana di kawasan ini beliau pernah berlindung di kawasan itu suatu ketika dahulu.

Walaupun mengenali rapat dengan pahlawan besar pada zaman silam, Tok Peramu sedikit pun tidak pernah menyentuh hal peribadi tentang Dato Bahaman, seolah-olah rahsia besar pada nama tersebut.

Tok Raja Ibrahim
Tok Raja Ibrahim
Kerajaan Negeri Pahang pada tahun 1970 telah mengadakan satu pertemuan antara 3 pahlawan sezaman iaitu Mat Kilau dengan rombongan Mat Kelantan dan Raja Ibrahim bin Tan Kechik (Tok Raja) di Pusat Latihan Pertanian Paya Besar, Jalan Gambang. Selepas pertemuan itu, Raja Ibrahim telah dibawa ke Pondok Tok Peramu.

Apabila Raja Ibrahim bertentang dengan Tok Peramu, beliau telah mengesahkan bahawa itulah Dato Bahaman, gurunya semasa menuntut ”Ilmu Hulubalang” di Semantan; beberapa bulan sebelum meletusnya perang menentang Inggeris di Semantan pada 1891. Hal ini disaksikan sendiri oleh beberapa orang ahli Jawatankuasa Penyiasat Mat Kilau dan juga bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Haji Abdul Aziz Ahmad.

Ujar Tok Raja lagi, selepas tamat perguruan, Dato Bahaman telah memberi kepadanya sebilah keris dan sebatang lembing untuk persediaan perang. Setelah perang menentang Inggeris di Pahang tamat pada 1895, keris dan lembing itu diambil semula oleh Dato Bahaman. Sewaktu itu juga, Tok Peramu menyanggah dengan menyatakan bahawa Tok Raja yang menyerahkan kedua senjata itu kerana takut menghadapi kesusahan semasa pulang ke Kelantan sekiranya bertemu dengan Inggeris, Tok Peramu menambah lagi bahawa setelah kedua senjata itu diserahkan kembali kepadanya, dia telah menyerahkan senjata tersebut kepada orang lain pula.

Puan Normah binti Mat Dali
Pada tahun 1970, Puan Normah dari Selama, Perak telah mengunjungi Tok Peramu di pondoknya bagi melaksanakan wasiat arwah ayahanya yang mewasiatan agar menyampaikan salam dan amanat ayahnya itu. Wasiat itu menyatakan bahawa Dato Bahaman dan Mat Kilau masih lagi hidup dan jika antara kedua tokoh ini muncul maka amanat itu harus dilaksanakan. Setelah amanat itu disampaikan, Tok Peramu menyatakan bahawa beliau amat kenal dengan Mat Dali daripada Bachok sebelum berpindah ke Selama.

3 Individu
Radin Damabulan
Dalam tahun 1971, tiga orang kenalan lama Tok Peramu telah datang melawat serta mengesahkan TokRadin Damabulan atau nama sebenarnya Haji Osman bin Haji Abdullah,125 tahun (1971) berasal dari Gunung Merapi Tanah Jawa, iaitu salah seorang sahabat yang berganding bahu mempertaruhkan nyawa mempertahankan Pahang daripada Inggeris hingga akhirnya terpaksa berundur ke Terengganu, Kelantan hingga ke Chiang Mai, Thailand.
Peramu adalah Dato Bahaman Orang Kaya Setia Semantan Pahang. Seorang adalah sahabat Dato Bahaman waktu perang yang dikenali sebagai

Radin Damabulan menceritakan bahawa beliau telah membantu Dato Bahaman menyediakan beberapa bilah keris picit di tepi Sungai Lepar, Pulau Manis.  Selepas itu, Radin Damabulan bersama Dato Bahaman, Imam Perang Rasu Tok Gajah, Mat Kilau, Mat lela, Mat Kelubi, Datuk Panglima Garang, Syed Sagah dan beberapa orang lagi berundur dari Semantan ke Batu Malim, Bukit Berapit, kemudian ke Terengganu, dan Kelantan melalui Jalan Kuala Krai, Jeli dan Bukit Kangkong hinggalah ke Teluk Seraya dan Sungai Jai di Negeri Thai.

Tuan Haji Abdullah bin Haji Osman, 70 tahun (1970) dari Kampung Beserah, Pahang dan Tuan Syed Hussin bin Syed Abdul Rahman 69 tahun (1970) dari Kampung Selamat, Pahang merupakan dua orang murid Tok Peramu yang mengesahkan guru mereka itu sebagai Dato Bahaman.

Tuan Haji Abdullah pernah menuntut pelbagai ilmu dan mendalami Islam dari Tok Peramu pada tahun 1924 ketika tinggal Kampung Padang Lalang. Seminggu selepas Mat Kilau mengisytiharkan diri, Tok Peramu telah memberitahu kepada beliau bahawa dialah Dato Bahaman yang sebenar.

Tuan Syed Hussin pula mendalami Ilmu agama dan menuntut Ilmu Silat Gayung daripada Tok Peramu juga dalam tahun 1924, setelah tamat dan menerima tauliah daripada Tok Peramu, beliau secara sulit telah diberitahu tentang identiti sebenar gurunya itu, namun demikian mereka telah berjanji akan merahsiakan hal itu daripada pengetahuan orang ramai.

Kesimpulan
Mengikut sumber utama dalam penulisan artikel ini, Tok Peramu tidak pernah melafazkan dengan mulut beliau sendiri kepada pihak berwajib bahawa beliau adalah Dato Bahaman Orang Kaya Semantan Pahang. Hal ini menyebabkan pihak Kerajaan Negeri Pahang pada waktu itu tidak dapat membuat pengesahan bahawa Tok Guru Peramu sebagai Dato Bahaman.

Kerana itu pada penghujung tahun 1974, Kerajaan Negeri Pahang membenarkan Tok Guru Peramu dibenarkan dibawa pulang ke Sungai Lui, Kuala Pilah, Negeri Sembilan iaitu tempat ahli keluarga beliau disana atas alasan usia Tok Guru Peramu yang makin lanjut dan kehidupan beliau yang daif pada waktu itu.

Walaupun begitu, orang-orang yang rapat dengan beliau seperti yang dinyatakan sudah mengesahkan bahawa Tok Guru Peramu dan Dato Bahaman adalah orang yang sama. Dalam tahun 70an, perkara ini mendapat liputan meluas oleh media massa namun orang luar dari Pahang memandang sinis tentang perkara ini. Sentimen mundur dan jumud begitu kuat dimainkan pada waktu itu, maklumlah pada era tersebut orang begtu taksub dengan istilah “moden”.

Kami hanya menyampaikan hasil selidikan orang terdahulu... Pendedahan ini tidak tamat disini... Artikel ini akan disambung dengan tajuk - Dato Bahaman Pencetus Kebangkitan Pantai Timur : Episod 3 – Dari Acheh turun ke Pahang!

1 comment:

  1. Dia jadi Dato Panglima Raja bergelar Dato Kaya Muda di Menara setelah berjaya mengalahkan Panglima Raja di satu upucara memilih hulu balang...semasa di Machang dia dan beberapa lagi tidur di rumah Pok Ku Deraman..di Menara beliau telah berkahwin dgn anak Pak Cik Jambul (Raja Jambu yang dilucutkan oleh kerajaan siam) bernama Salmi...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...