Thursday, May 22, 2014

Dato Bahaman Pencetus Kebangkitan Pantai Timur : Episod 3 – Dari Acheh turun ke Pahang!

SIRI PANTAI TIMUR : PAHANG

Pendahuluan
Dua episod sebelum kami ada nyatakan tentang Dato Bahaman dan juga usaha mendedahkan kebenaran tentang Dato Bahaman yang masih lagi hidup pada tahun 1970an selepas menjadi buruan Inggeris selepas tamat Perjuangan di Pahang pada 1895.

Ramai generasi kita hanya nampak akan “Tok Gajah” sahaja seolah-olah Dato Bahaman Orang Kaya Setia Semantan Pahang hanyalah watak sampingan, begitu juga kisah Tok Janggut dan Engku Jeram itu hanyalah watak pembantu. Inilah “game” yang dimainkan untuk terus mematikan terus semangat perjuangan Orang Melayu. Namun, bukan itu yang kita mahu bangkitkan dalam artikel ini.

Dua artikel sebelum ini kita memperkenalkan kembali akan Perjuangan Dato Bahaman dan pada artikel seterusnya menyatakan akan perihal Tok Peramu yang kemudian disahkan sebagai Dato Bahaman melalui anak murid, keluarga dan sahabat beliau meskipun Tok Peramu tidak mengesahkan beliau adalah Dato Bahaman. Justeru, kami lanjutkan tentang susur galur Dato Bahaman itu.

Biodata
Nama sebenar :  Tengku Abdul Rahman Alam Shah bin Tengku Nong@Tengku Noh.
Tarikh Lahir : 1824
Tarikh Meninggal : 23 Julai 1977 pada usia 153 tahun dengan nama Tok Peramu
Bapa : Tengku Nong@Tengku Noh
Bonda : Tengku Esah binti Tengku Abdullah (Keturunan Raja Acheh)

Beliau mempunyai 5 orang saudara, 3 orang lelaki dan 2 orang perempuan.
  • Tengku Muhammad Yaakob
  • Tengku Abdul Rahman Alam Shah (Tok Peramu)
  • Tengku Ibrahim
  • Tengku Maznah (Tengku Nah) – tinggal di Riau
  • Tengku Maimunah

 Datuk Bahaman mempunyai 4 orang Isteri dan 10 orang anak
  1. Maimunah, anaknya: Mat Kelubi
  2. Syaripah Zainab binti Haji Kamarudin (Dato Puteh) asal dari Salor Kampar-Sumatera, anaknya: Mat Lela
  3. Fatimah, anaknya:
  • Haji Derus
  • Zainab
  • Bedah
  • Hassan
  • Mohd. Amin (Dato Maharaja Lela Tok Siam)
  • Penghulu Muhammad
  • Ngah Wook
  • Awang Boyan Padang Tengku Lipis
  • Umar
4. Anak Batin Kalmak yang di Islamkan terlebih dahulu sebelum dikahwini. (Batin Orang Asli di Klau, Semantan) antara lain adalah untuk mendapatkan sokongan Kaum Orang Asli dalam perjuangan beliau menentang Inggeris.

Dari Acheh
Pada 1854, Datuk Bahaman telah keluar dari Kota Raja, Acheh bersama-sama ayah dan ahli keluarganya ke Batu Satu, Kampung Umur, Sri Menanti, Negeri Sembilan ketika berusia 30 tahun. Tengku Nong telah mangkat di Kampung Rantau Panjang, Lanchang dan dikebumikan di kampung itu.

Di Negeri Sembilan, Dato Bahaman telah menjadi orang yang berpengaruh di Istana dengan gelaran Datuk Camang Gagah atau disebut juga sebagai Kahar, selain itu Dato Bahaman ini sebenarnya sepupu kepada Tengku Antah yang berasal dari Pagar Ruyung, pada waktu baginda adalah Yamtuan Besar Negeri Sembilan. Sebelum mendapat gelaran Dato Bahaman, beliau lebih terkenal dengan gelaran Dato Camang Gagah.

Ringkasnya, Dato Camang Gagah adalah orang yang benar-benar dipercayai oleh Tengku Antah, segala perkara akan dirujuk kepada Dato Camang Gagah terlebih dahulu. Dalam tahun 1888, Yamtuan Besar Tengku Antah telah mangkat dan dimakamkan berhampiran kediaman Dato Camang di Batu Satu Kampung Umur, Sri Menanti.

Perseteruan dengan Inggeris
Setelah kemangkatan Yamtuan Besar Tengku Antah, Dato Camang Gagah telah diberi mandat oleh para Pembesar Negeri Sembilan memangku jawatan Yamtuan Besar kerana pada waktu itu pewaris takhta Negeri Sembilan, Tengku Muhammad belum cukup umur untuk ditabal sebagai Raja.

Pada waktu inilah berlaku perseteruan antara Tengku Muhammad dengan sepupunya yang lebih tua bernama Tengku Ahmad Tunggal menuntut takhta Yamtuan Besar, namun niat beliau dibantah oleh Dato Camang Gagah kerana Tengku Ahmad adalah waris takhta yang sah.

Tengku Ahmad Tunggal yang mendapat sokongan seorang Gabenor Inggeris, En. William Jervois yang mahukan Tengku Ahmad Tunggal menjadi Yamtuan Besar di Jelebu. Hasrat ini ditentang keras oleh Dato Camang Gagah dan berkeras bahawa Tengku Muhammad waris yang sah dan akan bersemayam di Seri Menanti dan bukannya di Jelebu. Dalam peristiwa tersebut jugalah Dato Camang Gagah tegas menyatakan bahawa hanya beliau yang berhak menabalkan Yamtuan Besar yang baru memandangkan pada waktu itu beliau adalah Pemangku Yamtuan Besar. Inilah permulaan konfrontasi secara langsung antara Dato Camang Gagah dengan British.

Tidak lama selepas itu, Dato Camang Gagah telah menabalkah Tengku Muhammad selaku Yamtuan Besar Negeri Sembila pada 1891. Selain itu, Dato Camang Gagah juga melantik Dato Abdullah sebagai Datuk Undang Pertama di Jelebu.

Rupanya, perseteruan antara Dato Camang Gagah dengan Inggeris tercetus semenjak 1874 lagi. Ia bermula apabila Inggeris mencampuri urusan pentadbiran di Negeri Sembilan.

Perang Saudara Pahang
Pahang selepas Sriwijaya runtuh, mengalami pelbagai konfrontasi daripada Siam, Empayar Melaka, Portugis, Belanda, Johor, dan Acheh pada sebahagian abad ke-16. Sepanjang tempoh itu, Raja-Raja Pahang sering terbunuh, kebanyakkan rakyatnya pula dibunuh ataupun dijadikan hamba dan ekonomi Pahang pada waktu itu musnah. Selepas  kejatuhan Acheh pada pertengahan abad ke-17, Pahang telah dikuasai oleh Johor. Namun semenjak 1470, Pahang diperintah oleh Sultan dari keturunan Kesultanan Melaka hinggalah pada 1688, setelah itu keturunan Raja Bendahara Seri Maharaja (Bendahara Johor) memerintah Pahang hingga 1882 dan setelah digabungkan dalam Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Pahang mempunyai institusi Kesultanannya yang tersendiri.

Pada 1857 – 1863, Pahang telah terlibat dalam Perang Saudara antara Wan Ahmad dengan Wan Mutahir. Mereka berdua adalah anak kepada Tun Ali tetapi berlainan ibu. Menurut sumber, perang ini bermula dari perselisihan faham antara Wan Ahmad dengan Wan Mutahir berikutan fitnah. Menurut sumber, tersebarnya hasutan fitnah oleh ipar Wan Mutahir; Engku Saiyid yang mengatakan Wan Ahmad berkelakuan sumbang dengan ibu tirinya, Cik Puan Seni (balu Alhamrhum Bendahara Tun Ali) dan mendesak Wan Mutahir untuk membunuh Wan Ahmad. Tujuan sebenar Wan Ahmad berbaik dengan Cik Puan Seni adalah untuk mendapatkan sebilah keris Warisan Kerajaan Pahang yang bernama “Tok Bidan”. Wan Ahmad memperoleh keris tersebut dengan bantuan Dato Camang Gagah.

Menurut sumber juga, fitnah itu sebenarnya dijadikan alasan utama sedangkan Wan Mutahir tidak mengiktiraf wasiat almarhum ayahandanya Bendahari Tun Ali, yang telah menyerahkan Kuantan di bawah Pentadbiran Wan Ahmad.

Dato Camang Gagah telah memihak kepada Wan Ahmad kerana mereka sudah lama bersahabat dan ditambah, Tun Fatimah binti Muhammad isteri kepada Wan Ahmad merupakan saudara beliau. Persengketaan dengan Inggeris di Seri Menanti telah membuatkan beliau meninggalkan Negeri Sembilan dan berjalan kaki menuju Pahang melalui Sungai Semantan dan Kuala Bera bersama isterinya, Aminah yang kebetulan telah jatuh sakit dan meninggal di Lubuk Tua, Kuala Bera.

Wan Ahmad sedar akan fitnah dan ancaman bunuh terhadap beliau tersebar. Beliau telah membuat keputusan untuk berundur bersama Dato Camang Gagah ke Kemaman, Terengganu. Kemudian ke Sungai Pahang dan mudik hingga ke Kuala Bera sampai ke Penarik, dan berjalan kaki  hingga ke Ulu Muar dan menaiki Kapa Laut hingga ke Kampung Gelam, Singapura bagi menemui sahabat mereka disana.

E.A. Blundell, Gabenor Singapura (1855-1859) tidak memandang berat akan kehadiran Wan Ahmad ke Singapura, meskipun Temenggong Ibrahim, Johor cuba mempengaruhi Blundell supaya menghalau Wan Ahmad keluar dari Singapura. Temenggong Ibrahim bersungguh-sungguh kerana beliau merupakan besan kepada Wan Mutahir.

Atas hubungan Dato Camang Gagah yang meluas, mereka telah mendapat sokongan pahlawan dari Singapura antaranya Tuan Sheikh Mohsin, Imam Perang Mahkota, Tuan Mandak Al-Jaffari, Imam Perang Gendut dan beberapa orang lagi. Setelah mendapat bantuan daripada pahlawan Melayu di Singapura, Wan Ahmad dan Dato Camang Gagah dapati mereka belum boleh melancarkan serangan atas beberapa faktor, namun persediaan mereka dijalankan dengan rapi. Mereka telah belayar ke Kemaman. Sultan Zainal Abidin yang memerintah Terengganu pada waktu itu juga menyokong Wan Ahmad.

Di Kemaman, mereka memantapkan lagi barisan pahlawan yang telah dikumpulkan dan terus belayar ke Kuala Pahang, kemudian ke Kampung Marhum dan seterusnya ke Kampung Pulau Jawa untuk menguji angkatan Wan Mutahir yang diterajui oleh Engku Saiyid bersama anaknya Tuan Embong. Mereka tidak dapat menahan asakan daripada angkatan Dato Camang Gagah dan berundur ke Kubu Wan Mutahir di Kampung Gancong. Selepas itu Engku Saiyid berkubu pula di Teluk Ketapang dan Kampung Cina. Engku Panglima Besar Wan Ismail dan Datuk Perba Jelai Wan Idris pula berkubu di Kampung Pulau Keladi.

Dato Camang Gagah telah dibantu oleh Imam Perang Rasu Tok Gajah bin Datuk Basirun, Saiyid Idrus, Wan Dagang dan Wan Lambak serta 500 orang hulubalang bersenjata dengan mudah dapat mengatasi kesemua kubu-kubu itu. Wan Mutahir dan angkatannnyat terpaksa berundur dan serangan berterusan dengan menyerang Kubu Wan Mutahir di Kampung Gancong. Setelah bertempur selama lima hari, angkatan Wan Mutahir telah berundur ke  Kampung Chenor.

Angkatan Dato Camang Gagah telah mudik ke Pulau Manis dan menunggu angkatan Wan Mutahir dari Kampung Chenor yang dalam perjalanan untuk melakukan serangan balas ke atas bandar Pekan. Mereka bertempur seharian suntuk dan berjaya mengundurkan angkatan Wan Mutahir. Pasukan Dato Camang Gagah telah membina kubu di Kampung Gancong dan Langgar dan bertahan disitu selama 3 bulan. Angkatan Dato Camang Gagah telah kehilangan semangat juang kerana terlalu lama berjauhan dengan keluarga akhirnya mereka telah tewas dalam satu serangan mengejut yang dilancarkan oleh musuh yang pada waktu dipimpin oleh Sultan Garang.

Mendapat Gelaran Dato Bahaman 
Setelah tewas, angkatan Dato Camang Gagah telah berundur ke Kemaman untuk memantapkan angkatan perang serta menyusun strategi baru. Mereka mula melancarkan perang saraf untuk mempengaruhi rakyat di kawasan Ulu Pahang seperti di Tembeling, Lipis, Jelai, Temerloh, Chenor untuk bangkit menentang kezaliman pemerintahan Wan Mutahir bersama anaknya Tun Qurish dan Wan Da.

Gerakan ini berjaya mempengaruhi rakyat Pahang dan mereka telah bersumpah untuk taat setia menyokong untuk menaikkan Wan Ahmad sebagai pemerintah Pahang. Buat kali kedua, angkatan Wan Ahmad berjaya dibina semula dengan pimpinan Dato Camang Gagah dan mereka mula melancaran serangan. Dari Kemaman ke Kuantan, kemudian ke Sungai Miang di Pekan dan menyerang pasukan Wan Mutahir di Endau dan mereka beroleh kemenangan dengan rampasan perang yang banyak termasuk makanan dan senjata.

Pasukan Dato Camang Gagah telah pulang semula ke Kemaman, dan mereka mudik Sungai Dungun  hingga ke hilir Sungai Tembeling dan bersatu dengan angkatan Wan Ahmad di Ulu Pahang yang sedang menuju ke Pekan untuk menyerang kedudukan angkatan Wan Mutahir.

Pada waktu itu, angkatan Wan Mutahir, Tun Qurish, dan Wan Da di Chenor makin lemah dan ramai pembesar Pahang telah memihak kepada Wan Ahmad. Serangan Dato Camang Gagah telah mencapai kemangan tanpa rintangan besar. Pengikut Wan Mutahir yang melarikan diri dan berlindung dengan orang-orang Bugis yang diketuai oleh Suliwatang juga dapat dikalahkan oleh Dato Camang Gagah.

Kejayaan di Chenor telah menyemarakan Dato Camang Gagah dan para hulubalangnya. Dengan kekuatan 1500 orang hulubalang lengkap bersenjata, telah melancarkan serangan ke atas Wan Mutahir di Kubu Tanjong Parit, Kampung Baru. Kubu di Kampung Masjid pula telah diserang oleh Imam Perang Rasu Tok Gajah. Kesemua kubu ini dapat ditawan pada 10 Jun 1863. Wan Mutahir dan anakandanya Tengku Qurish melarikan diri ke Kuala Pahang dan belayar ke Johor. Mereka berdua telah jatuh gering dan mangkat dan disemadikan di Tanjung Puteri (Johor Bharu).

Setelah Dato Camang Gagah berjaya mengamankan pengikut Wan Mutahir, keadaan di Pahang menjadi aman dan tenteram. Beliau juga telah ke Kuala Terengganu dan menjemput Wan Ahmad kembali ke Pahang. Dalam tahun 1863 jugalah Wan Ahmad telah ditabalkan sebagai Bendahara Pahang dengan gelaran Bendahara Sewa Raja.

Bendahara Sewa Raja Wan Ahmad telah berkenan melantik Dato Camang Gagah sebagai Orang Kaya Setia Semantan Pahang dan digelar juga sebagai Dato Bahaman dengan mengambil nama asal beliau Tengku Abdul Rahman. Akhirnya, gelaran Dato Camang Gagah telah luput apabila nama Dato Bahaman itu lebih dikenali dan diingati oleh rakyat Pahang. Selaku Orang Besar Pahang, Dato Bahaman telah diberi kuasa untuk memerintah dan memungut cukai di kawasan Semantan (Lancang) hingga ke Genting Bidai bersempadan antara Pahang dan Selangor serta di semua anak Sungai Semantan hingga ke puncak air meleleh dan di sempadan Perak dan Kelantan.

Bendahara Sewa Raja Wan Ahmad juga telah melantik Imam Rasu bin Dato Basirun yang juga anak saudara Dato Bahaman sebagai Orang Besar Pahang dengan gelaran Imam Perang Rasu Tok Gajah. Beliau diberi kuasa memerintah Kuantan hingga bersempadan dengan Kemaman, Raub dan Jerantut.

Sokongan daripada Dato Bahaman dan Tok Gajah telah membuatkan Pahang di bawah pemerintahan Bendahara Sewa Raja Wan Ahmad aman dan tenteram. Hinggalah British mula mencampuri urusan pentadbiran Istana di Pekan seperti mana mereka ganggu pentadbiran di Seri Menanti.

 Dato Bahaman Pencetus Kebangkitan Pantai Timur : Episod 4 – Berperang dengan British!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...