Saturday, May 24, 2014

Dato Bahaman Pencetus Kebangkitan Pantai Timur : Episod 4 Bahagian 1 – Berperang dengan British!

SIRI PANTAI TIMUR : PAHANG

Sultan Ahmad al-Muadzam (1882-1909)
Tamat perang saudara yang berlangsung selama 6 tahun (1857-1863), Pahang telah bertambah makmur dibawah pentadbiran Bendahara Sewa Raja Wan Ahmad dan dibantu oleh Orang Kaya Setia Semantan, Dato Bahaman dan Imam Perang Rasu Tok Gajah. Kemakmuran Pahang dalam jangka masa ini telah menarik minat Inggeris dan kuasa Eropah yang lain terutamanya Jerman datang untuk melabur serta memajukan Pahang.

Pendudukan Jerman ini dipandang serius oleh Inggeris kerana mereka telah lama bertapak di sebahagian Semenanjung Tanah Melayu dan mereka mula mencampuri urusan pentadbiran Pahang. Mengikut beberapa catatan, Pahang mempunyai hasil hutan yang banyak dengan balak yang bermutu tinggi. Hasil buminya juga tidak kurang sikitnya terutama Emas di Endau, Kuala Lipis dan beberapa daerah yang lain.

Campur Tangan
Pada peringkat awal, pihak Inggeris telah melaburkan modal mereka melalui syarikat perlombongan dan carigali namun lama kelamaan aktiviti Inggeris ini tidak disenangi oleh pembesar Pahang waktu itu kerana mereka sedar tentang apa yang dilakukan oleh Inggeris terhadap beberapa negeri di Tanah Melayu pada waktu itu seperti di Negeri Sembilan, Perak, Selangor dan Kedah.

Bertitik tolak dari itu, Bendahara Wan Ahmad dan Pembesarnya telah mengadakan mesyuarat sulit di Kuala Bera, Temerloh dan selepas itu mereka adakan sekali mesyuarat di Pulau Tawar, Jerantut dan kesemua pembesar Pahang pada waktu itu telah mengisytiharkan ikrar taat setia kepada Bendahara Wan Ahmad serta menolak campurtangan Inggeris dalam pentadbiran Pahang.

Inggeris menyedari tentang bantahan daripada pembesar Pahang dan bermula 1882, mereka telah melancarkan pelbagai usaha untuk menguasai Pahang sama ada secara sulit atau melaga-lagakan pemimpin Pahang pada waktu itu.

Tengku Mahmud, Sultan Pahang 1909-1917
Pada 1885, Inggeris cuba memporak perandakan Pahang dengan melantik Wan Mansur adik kepada Bendahara Wan Ahmad sebagai Raja Muda dengan memaksa wakil Pahang di Singapura menandatangani perlantikan tersebut. Sedangkan pada waktu itu, Tengku Mahmud putera Wan Ahmad sudah diakui sebagai penggantinya. Jelas tindakan Inggeris dibawah kendalian Frank Swettenham yang juga Residen Selangor pada masa tersebut untuk mengucar kacirkan Pahang.

Rancangan jahat Inggeris diteruskan untuk menekan Pahang dan kejadian pembunuhan seorang tauke Cina yang bernama Goh Hui di kawasan istana Wan Ahmad di Pekan pada 23 Januari 1888 dijadikan alasan oleh British untuk memaksa Wan Ahmad menerima Penasihat Inggeris. Ini kerana British menyatakan bahawa Goh Hui adalah rakyatnya yang berasal dari Singapura.

Kes pembunuhan Goh Hui ini telah diambil kesempatan oleh British dengan menyatakan Pahang pada waktu itu tidak aman, selaka berlaku kes pembunuhan dan mengamalkan perhambaan.

Sebelum Campur Tangan
Pahang sebenarnya berada dalam keadaan aman selepas tamat perang saudara. Pentadbiran berjalan lancar dan para pembesar menjalankan tugas dengan amanah. Orang Melayu menjalankan kerja secara gotong royong dan tidak wujud istilah perhambaan atau kerahan tenaga. Namun gaya kerja yang dijalankan oleh orang-orang Pahang pada waktu itu disalah anggap oleh British.

Namun, orang yang jahat hatinya hitam. Tamak menguasai diri atau kerana mereka memangnya berniat untuk menjajah telah dan tetap melakukan onar.

JP Rodger, Residen Pertama Pahang
Inggeris telah membawa masuk buruh Cina secara beramai-ramai dari Singapura serta dari negeri di bawah naungannya ke Pahang sebagai pekerja lombong. Keadaan ini pastinya akan menimbulkan kekacauan di kawasan lombong dan menjadi diluar kawalan kerajaan Pahang pada waktu itu. Perkara ini telah membuka ruang kepada British menawarkan bantuan kententeraan mereka untuk mententeramkan keadaan tersebut.

Sebenarnya, hal ini bukan semudah seperti disangka oleh orang-orang Pahang yang baru pulih dari perang saudara pada waktu itu. Pejabat Tanah di London telah mengarahkan Residen mereka seluruh Empayar British untuk mendapatkan seberapa banyak bahan galian terutama bijih timah, getah dan Emas untuk menampung kilang perindustrian yang sedang pesat membangun di Eropah pada waktu tersebut.

British sungguh licik, sebelum mereka bergiat cerga di Pahang, mereka telah bersahabat baik dengan Kerajaan Johor terutama dengan Maharaja Abu Bakar bagi memajak beberapa kawasan tanah lombong di Pahang dan mereka telah berjaya beroperasi di Ulu Cheka, Kecau, Tenom, Penjuin, Tras dan Sungai Dua. Menjadikan alasan pengelibatan syarikat British inilah Frank Swettenham, Weld, Hugh Clifford, J.P Rodger, Hugh Low dan Martin Lister selalu ke Pekan sama ada memaksa atau menasihati Wan Ahmad.

Siri Lawatan oleh wakil-wakil British ini telah membuatkan pembesar Pahang mengadakan pertemuan sulit untuk menyatakan pendirian mereka terhadap kegiatan British di Pahang pada waktu itu. British pada waktu itu sangat menjengkelkan tetapi pembesar Pahang tidak bertindak kerana menghormati juga Johor yang juga sahabat kepada British.

Tidak Sensitif
8 Oktober 1887, Bendahara Wan Ahmad telah menandatangani perjanjian dengan British untuk menerima sistem Residen British di Pahang dengan tujuan untuk mengekang kejadian jenayah di Pahang serta mengembalikan keamanan. Perjanjian itu juga menyatakan bahawa Bendhara Sewa Raja Wan Ahmad ditabalkan sebagai Sultan dan keturunan Baginda diakui sebagai perwaris Kesultanan Pahang. Para pembesar di beri gaji mengikut pangkat.

Setelah itu, Inggeris melaksanakan sistem Residen di Pahang dengan J.P. Rodger sebagai Residen yang pertama. Selepas setahun, British makin aktif tetapi mereka tidak melaksanakan sebagaimana mereka janjikan.

Polis Inggeris dan Sikh bertindak kasar dan tidak menghormati budaya dan adat resam orang-orang Melayu hingga menimbulkan perasaan tidak puas hati dan ada yang berdendam dengan sikap pihak berkuasa British. Para pembesar Pahang juga tidak dibayar gaji seperti mana yang dijanjikan dan mereka merasakan hak mereka telah dicabul.

Inggeris telah menuduh pembesar Pahang memungut cukai dan tidak mempedulikan larangan mereka. Mereka juga dituduh menggunakan hamba dan menjalankan kerahan tenaga terhadap rakyat Pahang. Sudah menjadi adat dan amalan orang-orang Melayu bekerja secara gotong royong terutama dalam pekerjaan ladang dan penerokaan hutan.

Pembesar Pahang telah sebulat suara melantik Dato Bahaman sebagai Ketua Perutusan untuk bertemu dengan Sultan Abu Bakar dan Sir Cecil Clementi Smith, Gabenor Negeri-Negeri Selat di Kota Tingi, Johor bagi membincangkan perkara tersebut. 3 orang pahlawan Pahang dipilih untuk mengiringi Dato Bahaman iaitu Mat Lela, Mat Kelubi dan Panglima Hitam Haji Othman bin Haji Abdullah atau Radin Damabulan.

Rundingan Gagal
Perjalanan dari Pekan ke Kota Tinggi memang sukar pada masa itu, rombongan Dato Bahaman telah mudik dari Sungai Pahang hingga ke Penarik dengan perahu. Kemudian mereka berjalan kaki melalui Muar hingga ke Johor Bharu. Setelah itu melalui Skudai selama tiga hari barulah mereka tiba di Kota Tinggi.

Dato Bahaman telah menjelaskan perihal Inggeris yang tidak memenuhi janji mereka pada 1887 itu. Gabenor Negeri-Negeri Selat menyatakan kesedihan beliau akan perkara itu dan menwarkan gaji tetap $500 sebulan kepada Dato Bahaman di samping gaji paling tinggi dikalangan pembesar selepas Sultan dan pembesar lain menerima gaji mengikut pangkat dan ianya berkuat kuasa sebulan selepas itu.

Tawaran tersebut telah ditolak bulat-bulat oleh Dato Bahaman dan berikrar dihadapan Sultan Abu Bakar dan Gabenor Inggeris itu untuk bangkit memperjuangkan Pahang selagi British tidak keluar dari Pahang.

Tindakan Dato Bahaman itu telah mencetus bibit perseteruan dengan British. Sultan Ahmad telah dipaksa melucutkan jawatan Dato Bahaman dan atas Sultan juga, Dato Bahaman kerap diundang ke Pekan sebagai umpan untuk menangkap beliau. Orangnya penuh ilmu dan pengalaman, Dato Bahaman tidak mudah diperdaya, malah beliau telah membina angkatan untuk bersedia menghadapi segala kemungkinan di Semantan.

British Bertindak
1889, Inggeris telah bertindak kejam dengan menembak dan merampas tapak rumah Orang Kaya Setia Raja Haji Wan Daud di Kuala Lipis dengan kekerasan dan ditawarkan $200 sebagai pampasan. Bagai mencurah minyak dalam api. Inggeris semakin bongkak dengan membina Pondok Polis di Lubuk Terua, Semantan tidak berapa jauh daripada rumah Dato Bahaman.

Tindakan ini telah membangkitkan kemarahan Dato Bahaman kerana ianya mencabar kedudukan beliau selaku Orang Besar Pahang. Di daerah lain, seperti Kuala Lipis, Bentong dan Jerantut, Inggeris dengan sombong telah membuka lombong bijih timah tanpa menghiraukan pembesar Pahang di daerah tersebut.

Sultan Ahmad  pula telah berpindah dari Pekan ke Pualau Tawar, Jerantut sejak Tengku Mahmud dilantik sebagai pemangku Raja pada 22 Julai 1889. Tengku Mahmud pula dipaksa ke Pekan untuk memudahkan urusan J.P.Rodgers bagi menandatangani perintah demi kepentingan Inggeris. Perpindahan Sultan Ahmad sebenarnya untuk memutuskan hubungan antara baginda dengan Dato Bahaman, seolah-olah Sultan Pahang tidak lagi menyokong Dato Bahaman.

Perkara ini telah membuatkan kedaulatan Sultan Pahang diremehkan dan telah menyemarakkan kemarahan penduduk Pahang terutama Dato Bahaman dan mereka menyedari Inggeris menggunakan nama Sultan dalam setiap tindakan mereka.

Episod ini akan bersambung pada bahagian dua.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...