Thursday, May 15, 2014

TOK KU PALOH, ULAMA BESAR PEJUANG BANGSA

Tok Ku Paloh

Pendahuluan.
Tidak lama dahulu, pejuang bangsa Melayu terdiri daripada ulama dan Tokoh agama. Perjuangan mereka dahulu adalah untuk menghalang penguasaan penjajah kafir daripada Britian yang semakin mencengkam pada waktu itu.

Diperhatikan dari tahun 1850-1930an kawasan Pantai Timur atau juga dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu tidak bersekutu giat bangkit memperjuangkan hak mereka sendiri, setelah melihat pemerintahan negeri semakin dikuasai oleh kafir British.

Perjuangan mereka juga adalah seruan jihad daripada Khalifah Turki Uthmaniyah pada waktu itu, dan kebanyakkan ulama yang menjadi pemimpin kebangkitan ini mendapat pendidikan di luar Tanah Melayu ini dan kebanyakkan mereka mendalami ilmu agama Islam di negara Islam yang pada waktu itu dibawah naungan Turki Uthmaniyah.

Siapa Tokku?
Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad al-Aidrus adalah nama penuh beliau dan juga dikenali dengan beberapa nama antaranya; Engku Sayyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik, dan Syeikh al-Islam Terenganu.

Dilahirkan di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu pada tahun 1817 [1236 Hijrah] merupakan anak kepada Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal Abidin al-Aidrus yang juga dikenali sebagai Tok ku Tuan Besar yang juga seorang kenamaan. Mengikut catatan lain, Tokku Paloh merupakan nasab yang ke-32 daripada Rasulullah s.a.w. di kalangan keluarga al-Aidrus.

Antara adik beradik kandung beliau:

  • Sayyid Zainal Abidin al-Aidrus (Engku Sayyid Seri Perdana)
  • Sayyid Ahmad al-Aidrus (Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh)
  • Sayyid Mustafa al-Aidrus (Tok Ku Tuan Dalam)
  • Tuan Embung Abu Bakar (Tuan Embong Solok @ Tok Ku Tuan Kecik@Tuan Nik)

Pendidikan
Pada peringkat awal, Tok ku menerima didikan awal daripada ayahanda beliau sendiri yang pada waktu merupakan Ketua Ulama Terengganu. Selain itu, beliau juga menerima didikan mengenai Islam dari Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung.

Setelah itu, melanjutkan pelajaran ke Mekah. Di sini beliau telah bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathaniyang juga merupakan bapa kepada Syeikh Ahmad. Selain itu, Tok Ku Paloh juga bersahabat dengan Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik Fathani dan ramai lagi.

Selama  10 tahun beliau menuntut Ilmu dengan Ulama-Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah dan telah menguasai berbagai cabang Ilmu Agama Islam seperti Tauhid, Feqah, Tasawuf,Tasir, Nahu, Sarah dan pelbagai lagi. Sumber menyatakan bahawa Tok Ku begitu arif dalam ilmu Tasawuf dan Ilmu Tariqat dan telah mengarang risalah mengenai persoalan kerohanian.

Menabur Bakti
Tok ku telah pulang ke Terengganu sebagai seorang Ulama Besar yang warak dan terkenal sebagai pemimpian Tareqat Naqsyabandiah dengan menjadikan  masjid peninggalan ayahandanya di Kampung Cabang Tiga [Masjid Simpang Tok Ku] sebagai pusat pengajaran beliau. Status beliau sebagai anak kepada Ketua Ulama Terengganu dan beliau sendiri sebagai seorang Ulama telah membuatkan Tok Ku juga menjadi tempat rujukan orang ramai termasuk pembesar Istana Terengganu pada waktu itu.

Sultan Zainal Abidin III
Hubungan Tok Ku Paloh dengan Sultan Zainal Abidin III sangat erat sama seperti hubungan antara Tok Ku Pulau Manis dengan Sultan Zainal Abidin I [1725-1724]. Diriwayatkan, Tok Ku Paloh bersama Sayid Abdullah [Menteri Besar pada waktu itu] telah mengetuai sokongan perlantikan Sultan Zainal Abidin III sebagai Sultan Terengganu menggantikan Sultan Ahmad Syah II [1876-1881]. Berkat sokongan dua pemimpin ini, Sultan Zainal Abidin kekal memerintah hampir 37 tahun walaupun ketika baginda dilantik baru berusia 16 tahun dan ini adalah berkat kerana menerima pandangan dan pendapat daripada Ulama.

Ketika Sultan Zainal Abidin III menaiki takhta, Tok Ku belum menyandang apa-apa jawatan rasmi dalam Kerajaan Terengganu, namun sebagai Tokoh Agama, beliau sudah berpengaruh di kalangan para pembesar Terengganu pada masa itu. Selepas itu, beliau telah dilantik sebagai Ketua Ulama dan seterusnya dilantik sebagai Ahli Mesyuarat Negeri dalam pentadbiran kerajaan Sultan Zainal Abidin III secara tidak langsung beliau bertanggung jawab membantu kerajaan mentadbir rakyat dan negeri.

Selaku Ulama, beliau menjadi tempat rujukan Sultan dan menjadi orang yang bertanggungjawab dibelakang keputusan yang dibuat oleh Sultan dalam pelbagai perkara terutama dalam dasar luar negeri. Ini terbukti apabila Tok Ku Paloh membuat keputusan yang berani dengan memberi perlindungan kepada pahlawan-pahlawan dari Pahang iaitu Dato Bahaman, Tok Gajah dan anaknya Mat Kilau, yang bangkit mempertahankan hak semasa mereka berundur akibat tekanan daripada pihak berkuasa. Semasa dalam perlindungan di Paloh, mereka telah berguru dengan Tok Ku.

Budak Raja
Dalam memastikan Paloh terhindar daripada perbuatan maksiat dan perlanggaran undang-undang telah mencontohi perbuatan Khalifah Umar al-Khattab r.a. Tok Ku Paloh telah menubuhkan satu pasukan penguatakuasaan yang bertindak seperto Polis hari ini yang dikenali sebagai  “Budak Raja” yang bertanggungjawab menjaga keamanan Paloh. Diriwayatkan Tok Ku gemar keluar malam, malah pada hari tertentu beliau akan berselubung kain kepala untuk meninjau kehidupan masyarakat seperti mana apa yang dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab dan Budak Rajalah yang akan diberi tugasan bagi menyempurnakan tugasan hasil daripada tinjauan Tok Ku itu.

Selain itu, Tok Ku Paloh juga mempunyai Mahkamah Keadilan sendiri di Paloh dan beliau diberi mandat oleh Sultan untuk menyelesaikan permasalahan penduduk di Paloh serta mengadili  pesalah laku di kawasan pentadbirannya. Begitulah kepercayaan Sultan kepada Tok Ku Paloh.

Dalam kehidupan, Tok Ku Paloh lebih rapat dengan Sultan berbanding soal pentadbiran, dan ini diperkuatkan lagi dengan salah seorang kekanda Sultan Zainal Abidin, iaitu Tengku Mandak juga salah seorang isteri kepada Tok Ku. Malah Baginda Sultan juga menyerahkan Tengku Sulaiman kepada Tok Ku untuk dijadikan anak angkat. Tengku Sulaiman kemudiannya menjadi Sultan Terengganu yang ke-13 memerintah dari 1920-1942. Begitulah eratnya hubungan Tok Ku Paloh dengan Sultan Zainal Abidin.

Tok Ku Paloh menghembus nafas terakhir pada Bulan Zulhijjah 1335H bersamaan September 1917 pada usia 102 tahun.

Ulasan penulis
Tok Ku Paloh adalah antara penggerak utama dalam menyekat penguasaan British. Dapatan kami menunjukkan bahawa Tok Ku Paloh bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani yang juga merupakan bapa kepada Syeikh Ahamd al-Fathani yang terkenal sebagai guru kepada Tok Kenali dan Tok Janggut.

Syeikh Muhammad Zain ini adalah anak kepada Syeikh Mustafa bin Syeikh Muhammad seorang Panglima Istana Patani. Selepas Patani menghadapi ancaman daripada Siam, Syeikh Muhammad Zain telah berhijrah ke Kota Mekah bersama keluarga beliau dan mendidik Syeikh Ahmad dengan pelbagai ilmu sebagai menjadi warak dan ternama di Kota Mekah.

Pendek kata, sahabat-sahabat Tok Ku ini tidak pernah surut semangat perjuangan mereka (Jihad) demi tanah air, bangsa dan agama. Siam adalah ancaman buat negeri Pantai Timur dan British pada masa itu baru mula bertapak di negeri Pantai Timur. Perjuangan ulama-ulama terdahulu bukan kerana kenaikan cukai, rampasan kuasa atau ramapasan tanah. Mereka berjuang untuk menyekat Pengaruh British dari menyesatkan pemikiran bangsa Melayu dan merendahkan Islam.


Tokoh Silam adalah cerminan kita pada hari ini. Sedikit demi sedikit kini kita bangkit...

Sumber:
1) Abdul Ghani Said - 7 Wali Melayu; Mahbook Publication, 1993
3) Zihan1975

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...