Sekadar Hiasan@Cactus Wangi |
Tidak semua pertemuan semula (reunion)
menggembirakan. Ada juga yang membawa derita dan memutuskan ikatan perkahwinan.
Namun jika itu takdir Allah, apa lagi yang mampu dilakukan, terimalah dengan
reda dan mohon Allah beri petunjuk agar hidup lebih bermakna. Ia menjadi fenomena
pada masa ini. Di mana-mana sahaja orang bercakap tentang reunion, tidak
kiralah sama ada dengan kawan sekolah, jiran, universiti atau pejabat.
Memang ada baiknya reunion,
sekurang-kurangnya ia dapat menemukan rakan-rakan yang sudah berpuluh-puluh
tahun tidak ditemui dan mengeratkan silaturahim. Tetapi reunion juga boleh
memusnahkan sebuah perhubungan.
Inilah kisah yang saya paparkan minggu
ini, kisah reunion yang meninggalkan titik hitam dalam hidup Nora (bukan nama
sebenar) dan pasangannya Nasri (bukan nama sebenar).
Mahu tidak mahu Nora terpaksa menerima
kenyataan yang suaminya kini telah kembali kepada bekas kekasih lamanya setelah
menghadiri majlis reunion bekas pelajar universiti tempat mereka belajar.
Ingin tahu lebih lanjut, ikuti kisah Nora.
"Saya telah bernikah dengan Nasri
sejak lapan tahun lalu setelah setahun bercinta. Pertemuan semasa menghadiri
satu seminar anjuran tempat kerja menemukan saya dan dia. Kami dikurniakan
seorang anak lelaki berusia tiga tahun.
"Saya bekerja di sebuah syarikat
swasta dan suami penjawat awam. Sepanjang lapan tahun, tidak ada masalah yang
berlaku dalam hubungan kami. Nasri seorang suami yang baik dan penyayang.
"Setiap tahun, kami selalu melancong
ke luar negara dan juga menghabiskan masa bercuti dalam negara bila ada
kelapangan. Pendek kata keharmonian rumah tangga kami sangat menyerlah.
"Sehinggalah hujung tahun lalu,
kebahagiaan itu tergugat apabila suami bertemu semua dengan bekas kekasihnya
pada zaman universiti dahulu. Ini semua gara-gara reunion rakan universiti yang
dihadirinya.
"Saya tak kisah suami mahu ke majlis
itu sebab saya percaya dengan kesetiaannya. Sebelum ini, saya tidak pernah
cemburu atau buruk sangka dengan suami, sebab tahu dia ikhlas dalam perhubungan
kami.
"Selesai majlis itu, saya nampak
perubahan dalam dirinya. Tingkah laku, tutur kata dan sikapnya jauh berbeza
berbanding sebelum ini. Dia tidak berenggang dengan telefon bimbitnya. Setiap
saat, telefon bimbit ada dalam genggamannya terutama pada waktu malam.
"Di rumah pun sama, dia tidak pernah
letak telefon. Ke mana sahaja pergi mesti dipegangnya telefon. Kalau anak kami
nak pinjam main game, dia akan marah-marah. Sebelum ini, suami tidak pernah
meninggikan suara dengan anak.
"Pada hujung minggu, dia selalu
menghabiskan masa di luar. Tidak seperti biasa membawa saya dan anak keluar
bersiar-siar atau makan-makan. Jika tidak pun menemani saya dan anak di rumah.
"Tidak cukup dengan keluar di hujung
minggu, dia mula out station, kononnya untuk berjumpa kawan-kawan lama selepas
reunion tersebut. Itu pun saya masih tidak syak apa-apa sebab masih percayakan
dia.
"Satu hari, dia memberitahu saya
untuk out station selama tiga hari. Alasannya untuk menghadiri majlis
perkahwinan salah seorang stafnya. Saya tidak tanya banyak kerana saya tahu dia
tidak bohong, malah saya tidak nampak tanda-tanda dia berbohong dengan saya.
"Sehinggalah semua rahsianya
terbongkar, tiga bulan kemudian apabila saya terjumpa resit sewa hotel di dalam
beg pakaiannya. Berderau darah saya melihat resit tersebut, makan minum untuk
dua orang dan resit pembelian di sebuah kompleks membeli-belah di luar negara.
"Sehari suntuk saya menangis dan hati
berdebar-debar. Perasaan saya mula tidak tenang. Saya mula syak yang
bukan-bukan dan berdoa semoga apa yang saya syak tidak akan menjadi kenyataan.
"Tapi Tuhan tahu apa yang ingin
diujinya untuk saya. Melalui seorang teman pejabat, saya dimaklumkan yang suami
saya sudah bernikah lagi dengan kekasih lamanya di seberang.
"Lalu saya teringat permintaan dia
untuk out station tiga bulan lalu. Saya yakin itulah masanya dia bernikah
dengan kekasih lamanya itu. Saya tidak menangis. Saya tidak mahu jadi bodoh
memikirkan kecurangan seorang lelaki bernama suami.
"Saya mahu buat penyelesaian dengan
lelaki yang kononnya setia kepada saya tetapi beralih kasih.
"Mencari masa yang sesuai, saya
bersemuka dengan suami. Saya tunjukkan sekali resit hotel dan pembelian yang
saya jumpa. Juga saya beritahu dia yang rahsianya sudah terbongkar.
"Tanpa rasa sedih, saya ucap selamat
pengantin baru kepadanya. Tanpa memberi dia peluang untuk bercakap, saya
sudahkan kata-kata saya dengan,
"saya nak abang bebaskan saya!" Berulang kali saya sebut perkara itu.
"Saya tidak mahu lagi memberi dia
peluang. Sekali kepercayaan saya hilang, saya tidak akan memberi peluang kedua
kepadanya. Saya kecewa dan kesal dengan perbuatannya.
"Melihat saya menyerangnya
bertubi-tubi, dia akhirnya mengalah. Dia mula berterus-terang dengan saya,
menceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Dia mengaku telah menikahi perempuan
itu secara rahsia di negara jiran.
"Kononnya, dia menerima perempuan itu
kerana kasihan sebab sampai sekarang dia belum berkahwin kerana kecewa
ditinggalkan dahulu.
Mudahnya lelaki menyusun kata.
"Dalam sekelip mata, dia terlupa
kepada saya yang sudah lapan tahun berkorban untuknya. Menjaga makan, pakai,
sakit demamnya. Hanya kerana jumpa semula bekas kekasih, sanggup dia bernikah
lagi.
"Saya ralat kerana dia bertindak
tanpa meminta izin saya, ajak saya berbincang sedangkan saya tahu, perbuatannya
itu dalam keadaan tidak sedar sebab terkejut dengan kehadiran semula wanita itu
dalam hidupnya. Mudah sungguh bagi lelaki.
"Apa pun semuanya sudah terlambat.
Hati saya sudah terluka, pedih dan tidak mungkin akan terubat lagi. Saya kecewa
yang amat sangat. Saya tidak mahu lagi hidup bersamanya kerana kecurangannya
itu.
"Saya tidak menolak takdir. Saya reda
tetapi saya kecewa dengan perbuatannya yang tidak berfikir panjang dan tidak
mempedulikan perasaan saya sebagai isteri.
"Sanggup pula berbohong untuk
menghadiri majlis perkahwinan staf, sedangkan dia sendiri yang bernikah.
Perlukah lagi saya menghormatinya sebagai suami setelah apa yang dia lakukan
ini?
"Keluarga menentang keras keputusan
saya terutama sebelah mentua. Tetapi saya nekad. Saya ada hak saya sendiri
sebagai isteri. Saya tidak mahu selama-lamanya diperbodohkan. Jika dia sanggup
menipu saya untuk bernikah lagi, tidak mustahil sepanjang perkahwinan kami
nanti dia akan berbohong lagi untuk menyelamatkan dirinya untuk berpoligami.
"Walaupun saya sedih sebab anak
terpaksa hilang kasih sayang ayah untuk tinggal sebumbung tetapi saya berjanji
akan menjaga anak saya dengan sebaik-baik mungkin. Saya tidak kisah untuk
berbaik-baik dengan dia demi anak.
"Saya harap permohonan saya untuk
berpisah diterima. Saya tidak mahu lagi hidup bersamanya. Hati saya telah
hancur dan jiwa saya telah lama hilang lenyap bersama kepercayaan saya
kepadanya.
"Saya minta maaf kepada keluarga
kerana tidak menerima nasihat mereka. Saya tahu apa yang terbaik untuk masa
depan saya. Orang hanya memandang, yang menanggungnya saya. Saya benar-benar
terluka hati. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ini.
"Saya nasihatkan para isteri di luar
sana, hati-hati apabila suami anda menghadiri majlis reunion. Jika diajak,
jangan lupa ikut sama. Jangan biarkan mereka pergi seorang diri. Banyak drama
yang akan berlaku dalam majlis itu terutama apabila bertemu semula dengan rakan
lama yang satu ketika pernah singgah di hati mereka.
"Semoga Allah lindungi saya dan anak
untuk hari-hari mendatang dengan rahmat dan nikmatnya di dunia dan akhirat.
Amin. Nora menamatkan ceritanya.
Saya turut simpati dengan apa yang Nora
lalui. Memang betul apa yang Nora katakan, sekali terguris hati selamanya hati
akan tercalar. Siapa yang pernah melaluinya akan merasa peritnya apabila suami
diambil orang.
Saya ucap syabas dan tahniah kepada Nora
kerana berani bersemuka dengan suaminya secara berhemah. Jarang isteri bersikap
terbuka tentang perkara orang ketiga dalam rumah tangga. Namun, Nora mengambil
pendekatan berbeza setelah mendapatkan bukti-bukti yang sah.
Saya setuju dengan Nora bahawa reunion
jika tidak digunakan dengan cara betul akan membawa masalah. Seelok-eloknya
bawa pasangan masing-masing untuk dikenalkan kepada rakan-rakan lama agar tidak
timbul perkara negatif di kemudian hari.
Apa pun semuanya terpulang kepada hati.
Tepuk dada tanya selera. Jika nawaitu kita positif, maka akan positif juga
akhirnya tetapi jika sebaliknya, hanya Allah jadi penentu. Semoga Nora dan anaknya sentiasa dalam
rahmat Allah dan tabah menghadapi hidup.
Menamatkan coretan, pesanan saya, jangan
berputus asa dengan apa yang hilang daripadamu dan jangan terlalu bahagia
dengan apa yang bakal datang kepadamu kerana segala-galanya hanya sementara.
No comments:
Post a Comment