Tahukah anda, 200 tahun dahulu
Pantai Timur Semenanjung Malaysia ini mempunyai negara-negara berdaulat dan
terkenal ke serata dunia dengan pelbagai nama mengikut nama
pengembara-pengembara berbangsa Arab, China, Jepun dan Eropah. 200 tahun dahulu
juga peta Pantai Timur Semenanjung berbeza dengan peta semenanjung hari ini.
Peta yang ada pada hari ini telah menyisihkan Patani. Sebenarnya, pada waktu
itu negeri-negeri Pantai Timur juga adalah negara yang berdaulat.
Perjanjian Bangkok 1909 telah
menyebabkan Patani terpisah dari Kelantan dan Terengganu serta Pahang terserap
di bawah naungan British. Perjanjian ini dibuat tanpa pengetahuan Sultan
negeri-negeri Pantai Timur. Sebelum itu negeri di Semenanjung dikenali sebagai
Negeri-Negeri Selat Bersekutu dan seletah Perjanjian Bangkok 1909 wujud pula
Negeri-negeri tidak bersekutu.
Menelusuri bukti-bukti yang
dikemukan oleh pihak British kenapa mereka memeterai Perjanjian Bangkok itu.
Pertama sekali mereka menyatakan bahawa negeri-negeri Pantai Timur Semenajung
seperti Kelantan dan Terengganu sering berperang sesama mereka dan
negeri-negeri ini telah meminta bantuan ketenteraan daripada pihak British.
Pihak Britisih tidak boleh menolak kerana mereka mempunyai kepentingan di kedua
negeri ini.
Patani pula sering berperang
dengan Siam akibat pertikaian berdasarkan sejarah silam. Keadaan ini
menyebabkan British tidak senang kerana ia menjejaskan kepentingan British di
kawasan Asia Tenggara. Pemberontakan yang berlaku di Pahang dan Terengganu juga
menyebabkan termerterainya perjanjian Bangkok ini.
Dengan termerterainya perjanjian
ini British dan Siam sama-sama membantu melumpuhkan negeri-negeri pantai timur
ini. British mengekang Kelantan, Terengganu dan Pahang manakala Siam mengamankan
Patani. Inilah yang boleh kita singkapkan bagaimana sejarah pantai timur yang
diajar.
|
Hiasan - Bingkisan dari Queens of Langkasuka |
HAKIKAT YANG SEBENAR
LANGKASUKA, inilah sebuah nama
negara hebat yang hilang dari peta. Namanya tercatat dalam catatan Mesir, Rom
dan China tetapi hilang dari catatan Melayu sendiri. Langkasuka dahulunya
terdiri daripada negeri Patani, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Negeri
ini tersohor dengan hasil buminya terutama emas dan permata. Kayu-kayunya lebih
kukuh dari besi. Gajah menjadi kenderaan utama.
Orang Barat melalui catatan
Ptolemy mengenal semenanjung ini sebagai The
Golden Khersonese dan orang India mengenal semenanjung sebagai Suvarnabhumi yang membawa maksud Semenanjung Emas. Christopher Columbus dan
Ferdinand Magellan terkenal sebagai pelopor pelayar yang keluar dari kepompong
ketakutan masyarakat barat tentang mitos “penghujung dunia” yang mengikut
kefahaman masyarakat barat waktu itu, bumi ini dalam keadaan mendatar dan jika
mereka berlayar mereka akan jatuh di penghujung dunia. Dua orang nakhoda ini semestinya
belayar mengikut panduan dan rahsia dari ahli pelayaran terdahulu dan mereka
bukanlah orang yang bodoh untuk belayar tanpa mengikut panduan.
Ferdinand Magellan misalnya,
beliau dikatakan telah mengupah seorang penunjuk arah berbangsa Melayu bagi
meneroka kepulauan Melayu ketika mereka tiba di India. Kejayaan Christopher
Columbus dalam mencari “tanah yang dijanjikan” serta kecemerlangan Ferdinand
Magellan memecah jalan “Perdagangan Rempah” membuatkan ramai bangsa Eropah mula
mencari koloni masing-masing.
GOLD, GLORY, GOSPEL
Kekayaan, Kecemerlangan dan Agama
adalah kata kunci yang bangsa Eropah pegang ketika mereka membuka koloni.
Sebagai contoh orang Portugis daripada Portugal, mereka membuat perjanjian dan
berperang dengan Raja Hindu dan Sultan Islam di India hingga mereka berjaya
menduduki Goa. Mereka telah menjadikan Goa sebagai pengkalan utama. Kemudian
orang Belanda datang dengan tanda “VOC” dan diikuti dengan British.
Persoalannya, kenapa orang Putih
ini begitu beriya-iya datang ke Timur?
Timur sebenarnya sudah masyhur di
kalangan pedangang Arab yang sebelum ini menguasai separuh dari dunia ketika
kerajaan Abassiyah, Ummaiyah dan Uthmaniyah. Cuma di kalangan orang Barat
tempatan memang jelas tidak begitu mengetahui keadaan Bahagian Timur Dunia.
Dalam ajaran Kristian wujud satu
terma yang menyatakan “Promised Land” iaitu
tanah yang telah dijanjikan oleh Tuhan. Inilah satu sebab kenapa mereka
beriya-iya mencari tanah yang dijanjikan itu. Selepas perang salib, kepercayaan
mereka makin bertambah dan mula mencari kebenaran tentang tanah yang dijanjikan
itu. Akhirnya melalui Christopher Columbus mereka menemui Benua Amerika yang
sebelum ini langsung tidak di ketahui namun ada antara mereka kurang
mempercayai akan kewujudan Benua Amerika itu. Mereka lebih tertarik dengan The Barbarian World iaitu merujuk kepada
bahagian Timur Dunia. Kerana ada ilmuwan mereka membaca catatan daripada
Ptolemy dan wujudlah Suma Oriental yang
dikarang oleh Tom Pires.
Pelbagai faktor kenapa orang
Eropah keluar mencari tanah di luar pengetahuan mereka dan faktor paling
penting adalah kekayaan menerusi pemilikan emas. Namun cendikiawan barat
menjadikan alasan perdagangan rempah sebagai faktor utama, ianya tidak boleh
ditolak kerana pada waktu itu rempah ibarat seperti emas kepada orang Barat.
Setelah kejayaan Columbus dan
Magellan, orang Barat berlumba-lumba datang ke Bahagian Timur Dunia. India,
Asia Tenggara dan China telah ditakluk oleh orang-orang Barat daripada pelbagai
negara seperti British, Jerman, Belanda, Jerman, Sepanyol dan Perancis.
British mempunyai empayar yang
luas dengan koloni di kebanyakkan negara Afrika dan Arab, India, Semenanjung
Tanah Melayu, Borneo, Kemboja, Hong Kong dan China serta Australia. Negara yang diduduki oleh British kebanyakkan
tercatat dalam catatan pengembara dan cendikiawan silam dan sudah tercatat akan
kekayaan yang wujud di negara yang diduduki oleh British.
PANTAI
TIMUR TANAH MELAYU & BRITISH
Telah dijelaskan pada permulaan
artikel ini bahawa Pantai Timur Tanah Melayu ini mempunyai sejarah yang
panjang. British dan Siam benar-benar menguasai bahagian ini setelah
termeterainya Perjanjian Bangkok 1909.
Pada tahun 1908, W.A. Graham
telah menerbitkan satu buku panduan atau Handbook
yang bertajuk KELANTAN yang menjelaskan tentang negeri Kelantan secara
terperinci dari segi sistem pentadbiran, pertahanan, geografi, budaya dan
ekonomi. Buku panduan itu juga menjelaskan tentang Kelantan yang mula mengorak
langkah ke arah ekonomi yang moden dengan menjalin hubungan syarikat Duff serta beberapa syarikat Jerman.
Tujuan utama hubungan ini adalah meneroka pedalaman Kelantan yang penuh dengan
khazanah alam seperti bahan galian utama terutama Emas dan Besi serta kayu
balak.
Sir Henry Norman, ahli parlimen
daripada Britain telah melawat Kelantan dan menghasilkan buku bertajuk The Peoples and Politics of the Far East pada
tahun 1895. Di dalam buku tersebut, ada memuatkan bab Malaya di bawah sub-tajuk On
A Raft Through Forbidden State yang menceritakan tentang keadaan di
Kelantan ketika itu. Perkara paling penting dalam bab ini adalah bagaimana
Henry Norman menceritakan tentang kemelut dalam kerabat diRaja Kelantan ketika
itu dan terdapat ahli kerabat yang meminta bantuan senjata daripada beliau. Hal
ini berkemungkinan besar telah dibentang dalam parlimen British memandangkan
Henry Norman adalah ahli parlimen Britain. Selain itu, Henry Norman juga
mengisahkan tentang keadaan negeri Pahang ketika itu dan juga membuka kisah
tentang negeri bernama Reman dan Legeh yang merupakan dua buah negeri Melayu
yang hilang dari peta. Reman diserap masuk ke dalam Perak manakala Legeh
menjadi Narathiwat sebuah negeri dalam Thailand.
Kisah Pelayaran Munsyi Abdullah juga merupakan satu lagi buku
berbahasa Melayu yang ditulis dalam tulisan roman yang mana waktu itu tidak
ramai orang Melayu tahu membaca tulisan roman. Buku ini adalah mengenai
pengembaraan Munsyi Abdullah dari Singapura ke Kelantan untuk membebaskan kapal
orang Cina Singapura yang terkandas di Kelantan akibat daripada perang saudara
waktu itu. Buku ini banyak diterjemah dalam bahasa ketiga dan dikaji oleh
sarjana-sarjana barat mengenai keadaan Pantai Timur waktu itu.
Buku Kelantan dan The Peoples and
Politics of the Far East adalah buku terbitan dalam Bahasa Inggeris,
manakala Kisah Pelayaran Munsyi Abdullah
buku berbahasa Melayu tapi diterbitkan dalam tulisan roman. Tiga buku ini merupakan
rujukan bagi pihak British tentang keadaan Pantai Timur Semenanjung terutama
buku Kisah Pelayaran Munsyi Abdullah kerana buku ini menceritakan secara
terperinci tentang laluan dari Singapura melalui Mersing (Johor) ke Pahang,
Kuala Terengganu dan Kelantan. Dipercayai masih banyak lagi buku yang
mengisahkan mengenai Pantai Timur Semenanjung yang diterbitkan dalam pelbagai
bahasa. Selain itu, di bawah tajuk Siam juga banyak menyentuh tentang empat
negeri di Pantai Timur terutama Patani.
Apa yang jelas di sini,
pengetahuan British tentang kawasan Pantai Timur Semanjung Tanah Melayu adalah
terhad dan mereka sebolehnya menyelidik dengan mendalam tentang negeri-negeri
Pantai Timur ini dalam usaha mereka meluaskan empayar. Mungkin mereka kurang
menggangu negeri Pantai Timur kerana menganggapnya negeri-negeri ini dibawah
penguasaan Siam terutamanya Patani. Cuma kebimbangan British adalah mengenai
konsesi yang diberikan Sultan Kelantan kepada Syarikat Duff serta usaha sama
Sultan ketika itu dengan pihak Jerman dan Jepun. Kekacauan yang sering berlaku
antara Kelantan dan Terengganu dijadikan alasan untuk mereka mencengkam Sultan
dengan menerima penasihat Inggeris. Syarikat Duff telah mengalami kerugian
ekoran pengubahan dasar setelah Perjanjian Bangkok 1909 dan Sultan tiada kuasa
untuk memberi konsesi tanpa persetujuan daripada British.
HASIL BUMI YANG TIDAK SEMPAT DISEDUT
British begitu sinonim
digambarkan sebagai penjajah yang menjarah harta negeri-negeri Melayu. Ketika
revolusi perindustrian timah menjadi komoditi utama. Pantai Barat Semenajung
Tanah Melayu amat kaya dengan bahan galian ini. Hingga tahun 1980, Malaysia
masih lagi merupakan pengeluar timah yang terbesar di dunia.
Mengapat timah sahaja yang
menjadi komoditi utama? Kenapa tidak emas yang utama?
Mungkin kita jelas Indonesia dan
Australia menjadi antara pengeluar emas yang besar di dunia. Dalam sejarah
silam, Indonesia atau khususnya kepulauan Sumatera dikenali sebagai Suvarnadvipa dalam bahasa India yang
membawa maksud Pulau Emas. Manakala
Semanjung ini dikenali sebagai Suvarnabhumi
yang membawa maksud Bumi Emas. Kini
yang timbul dengan jelas adalah Suvarnadvipa
iaitu Sumatera.
Kenapa di Suvarnabhumi atau Bumi Emas masih tidak timbul? Adakah emasnya
sudah habis disedut atau masih belum ditemui orang?
British dengan teknologi kapal
korek dengan tenaga kerja yang murah diimport dari China hingga menguasai
Selangor, Perak, dan Kedah serta Melaka dan Negeri Sembilan telah melombong
dengan rakus di negeri-negeri ini hanya menemui timah. Kerana lambakan timah
daripada Malaya mendorong British mencipta barangan yang diperbuat daripada
timah dan menyembunyikan hasrat mereka yang sebenar.
Pelbagai mitos diutarakan yang
menguatkan pencarian emas ini berterusan. Mitos Mount Ophir misalnya, yang mendorong ramai pengkaji mencarinya
kerana terdapat dalam Kitab Yahudi bahawa di Mount Ophir ini merupakan tempat Nabi Sulaiman membina negara.
Kewujudan Book of Mormon yang jelas
menghuraikan topografi Semenajung Malaysia mengikut mitos Mount Ophir. Mengikut pengamatan kami, seawal 1800 sudah ada
pengembara Eropah mencari gunung ini. Pada mulanya mereka menyangka sebuah
gunung di Indonesia sebagai Mount Ophir, namun
ia tidak menepati seperti dalam kitab Yahudi itu. Kemudian perhatian teralih ke
Gunung Ledang yang menyimpan sejarah
silam yang dikaitkan dengan keagungan Empayar Melayu Melaka. Ciri-ciri Gunung
Ledang tepat dengan maklumat dalam Kitab Yahudi itu. Namun kawasan itu
merupakan kawasan batu yang tidak memungkinkan wujudnya mineral berharga itu.
Pelbagai kaedah dan kajian
dijalankan dan terkini, terdapat dakwaan bahawa Mount Ophir itu berada di Kelantan dengan Bukit Panau sebagai
gunungnya. Jika di daratan, bukit ini kelihatan seperti biasa. Namun jika di
arah laut, bukit ini menjadi panduan untuk mengemudi ke Kuala Besar, Kota
Bharu. Bukit Panau menjadi perhatian ekoran kajian demi kajian mengenai
kerajaan silam yang dikaitkan dengan Kerajaan Chermin yang kemudiannya menjadi
bahagian Empayar Majapahit. Di kawasan ini dipercayai menjadi tapak kota
Kerajaan Chermin yang juga serpihan daripada Negara Langkasuka. Tapak itu kini
berada di dasar Danau To’Uban. Mengikut catatan daripada pengkaji tempatan,
seorang pemerintah Chermin mengamalkan menyimpan seketul jongkong emas setiap
hari dalam kolam di perkarangan istananya. Amalan dibuat semenjak hari pertama
beliau memerintah hinggalah kepada hari kematiannya. Selain daripada itu,
terdapat juga catatan dalam sejarah negeri Kelantan tentang kejadian aneh di
Bukit Panau yang menyebabkan Kelantan memperoleh namanya. Mungkin ini mitos
namun ada kebenarannya. Suatu masa dahulu di Bukit Panau telah kejadian aneh
yang mana di bukit telah terpancar cahaya berkilau-kilauan seakan kilat, dan
cahaya ini dikatakan terpancar hingga ke Terengganu dan berkilauan dari arah
laut. Lantas, dari “kilatan” inilah timbulnya nama Kelantan dan dari pandangan
orang di kejauhan “Terang nu” yang dikatakan timbulnya nama Terengganu. Selain itu, Che Siti Wan
Kembang bersama Puteri Saadong dan suaminya sempat membuka negeri di Chetok
iaitu berhampiran dengan tapak Kota Jiddah, negeri Chermin menjadikan kawasan
Pantai Timur ini mempunyai sesuatu yang masih terpelihara.
Terengganu dan Pahang hingga kini
menjadi kawasan simpanan Malaysia dan banyak tempat masih belum diteroka, malah di Pahang sendiri
kerajaan Malaysia banyak mengisytiharkan sebagai Hutan Simpan Kekal dan Taman
Negara yang melarang aktiviti penerokaan dibuat. Ini juga menjadi persoalan
buat pengkaji-pengkaji sejarah kerajaan silam. Kerana di dalam pedalaman hutan
inilah tercatat ibu kota kerajaan besar.
Hingga kini Terengganu terkenal
dengan “Emas Hitam” dan ianya sedang
dinikmati oleh semua rakyat Malaysia. Namun, sesuatu yang unik terus sepi di
Pahang... sesuatu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Mesir Purba.
KESIMPULAN
Negeri Pantai Timur Semenajung
Malaysia masih dililiti misteri yang hari demi hari kian terbongkar. British
yang bertapak selama lebih kurang 400 tahun di Semenanjung tidak berjaya
menyelongkar keutuhan khazanah Melayu di Pantai Timur walaupun ianya jelas
terpapar dalam kitab mereka. Sudah menjadi takdir buat yang hak untuk berkuasa
secara mutlak. Usah terlalu mencari, jika benar ianya untuk anda, tanpa
bersusah payah, ianya tetap menjadi hak anda. Jika sekalipun ianya untuk kami,
itu bukanlah yang kami cari.