Friday, August 16, 2013

Kemelut Politik Mesir : Pro Demokrasi bertindak balas

KAHERAH: Perkembangan politik Mesir menyaksikan penyokong pro-demokrasi mula bertindak balas terhadap operasi pihak berkuasa negara itu yang menggempur kem duduk dan bantah mereka di Kaherah dan Iskandariah.

Beratus-ratus penyokong Ikhwanul Muslimin bertindak membakar bangunan kerajaan di Giza berhampiran Kaherah. Tindakan itu menyusul dua hari selepas darurat dan perintah berkurung dilaksanakan di seluruh Mesir berikutan ratusan nyawa terkorban dan operasi pihak berkuasa. Sebelum perintah dilaksanakan pihak keselamatan menggempur kem pro-demokrasi dua bandar utama Kaherah dan Iskandariah.

Menurut tentera sekurang-kurangnya 43 polis terbunuh. Manakala hampir tiga ribu yang lain cedera. Bagaimanapun Ikhwanul Muslimin mendakwa lebih 2 ribu terkorban kerana tembakan pihak berkuasa di Masjid Rabaa Al-Adawiya dan Dataran Nahda.

Tindakan pihak berkuasa Mesir itu turut mendapat kecaman masyarakat antarabangsa.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry menyifatkan tindakan tidak berhati perut pihak berkuasa Mesir boleh mengganggu usaha penyatuan. Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Kesatuan Eropah pula mengkritik penggunaan kekerasan semasa cuba menyuraikan penunjuk perasaan pro-demokrasi.

Sementara itu, penyokong Ikhwanul Muslimin dikebumikan secara beramai-ramai selepas mereka terkorban dalam operasi menggempur oleh pihak berkuasa Mesir.Ia diadakan ketika bilangan mereka yang terbunuh dilapor terus meningkat.

Di Masjid El Iman timur daerah Bandar Nasr Kaherah ratusan mayat penyokong pro demokrasi dikumpulkan sebelum dikebumikan.

“Orang yang terbunuh bukan sahaja berada dalam dataran Rabaah tetapi juga di luar dan sekitar Rabaah. Angka mereka yang terbunuh adalah beribu-ribu. Bukan beratus-ratus. Ini semua penipuan,” kata salah seorang penyokong pro demokrasi, Mohamed Salah.

Bandar itu terletak berhampiran dengan Masjid Rabaah Al-Adawiya lokasi di mana pihak berkuasa menggempur dua kem perhimpunan duduk dan bantah penyokong pro-demokrasi pada Rabu.

Pihak berkuasa Mesir berkata pertempuran pihak polis dan penyokong pro demokrasi membunuh tidak lebih 500 orang.

Manakala Ikhwanul Muslimin menegaskan lebih 2,000 terkorban termasuk wanita dan warga emas.

Dalam pada itu, kebanyakan saudara mara mereka yang terbunuh merungut bahawa pihak berkuasa enggan membenarkan permit bagi mengebumikan mangsa-mangsa.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...