Monday, August 12, 2013

Ulama Kelantan : Tuan Guru Haji Musa

Tuan Guru Haji Musa Mat Tahir

Tuan Guru Haji Musa ulama berjasa di Bukit Marak

Almarhum Tuan Guru Haji Musa Mat Tahir al-Kelantani dilahirkan pada tahun 1895 di Kampung Jeram, Pasir Puteh, Kelantan. Ayahandanya bernama Mat Tahir manakalanya bondanya bernama Wan Sena. Kesungguhan ibubapanya menghantar beliau mempelajari ilmu agama semenjak dari usia yang kecil telah mencambah minat beliau yang sangat mendalam dalam bidang itu. Selain mendalami pengajian di tempat asalnya, beliau turut menimba ilmu di beberapa pondok terkenal seperti di Bunut Payong dan juga pondok-pondok sekitar Patani, Thailand. 

Sepanjang hayatnya, Tuan Guru Haji Musa telah berkahwin sebanyak tiga kali. Perkahwinan kali pertama adalah dengan gadis sekampungnya ketika dia berusia awal 20-an. Beliau memperolehi seorang anak lelaki yang diberi nama Idris. Namun jodoh perkahwinan mereka dikatakan tidak panjang. 

Tuan Guru berkahwin buat kali kedua setelah pulang dari Makkah. Beliau berkahwin dengan Hajjah Che Wook yang berasal dari Kampung Seterpa, Bukit Marak. Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Noor (Haji) dan Jah (Hajjah). Tuan Guru berkahwin lagi buat kali ketiga dengan Hajjah Che Bidah Awang Kechik, bekas isteri kepada Dato' Amar Diraja Kelantan, Dato' Nik Mustapha Fadhil Bin Dato' Nik Mahmood. Ketinggian budi pekerti Hajjah Che Bidah telah menambat hati beliau dan melalui perantaraan anak muridnya, beliau telah melamar Hajjah Che Bidah sebagai teman hidupnya. 

Hasil perkongsian hidupnya dengan Hajjah Che Bidah, beliau telah dikurniakan tiga anak lelaki dan empat anak perempuan. Antara anak beliau yang menjadi tokoh masyarakat ialah anak keenam beliau iaitu Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Seri Panglima Haji Annuar Haji Musa, Mantan Menteri Kabinet, Malaysia dan anak bongsu beliau iaitu Tuan Haji Ahmad Termizi Haji Musa, Ketua Sektor Pelajaran di JPN Kelantan.



Pendidikan

Tuan Guru Haji Musa berangkat ke Makkah buat kali pertama dalam tahun 1921. Setelah membulatkan tekad untuk mendalami ilmu disana, beliau menaiki kapal laut dengan membawa wang belanja sebanyak RM 225. Wang itu digunakan untuk tujuan perkhidamatan kapal menuju ke Makkah. Beliau menggunakan khidmat Syeikh Osman untuk kesana. Perjalanan bermula dari Singapura ke Jeddah sebelum tiba di Makkah dalam tempoh berbulan-bulan lamanya. Di Makkah, beliau berguru bertahun-tahun lamanya sebelum pulang semula ke kampung halamannya. Pada tahun 1936, beliau sekali lagi berangkat ke Makkah, kali ini bersama isterinya Hajjah Che Wook dan anak-anak mereka. Di Makkah, Tuan Guru Haji Musa telah menadah kitab kepada ulama-ulama besar yang mengadakan halaqah pengajian di Masjidil Haram. Beliau mendalami ilmu Al-Quran dengan Syeikh Ahmad Hijazi. Dengan Sheikh Ahmad Hijazi, beliau telah didedahkan dengan pelbagai cabang ilmu Al-Quran seperti qiraat, hafazan, tajwid, nafek, warash, qanun, mantik dan sebagainya. 

Beliau juga berkesempatan menimba ilmu dengan ulama besar Masjid Nabawi, Madinah al-Munawwarah iaitu Syeikh Hassan Ibrahim Shaier yang berasal dari Mesir. Syeikh Hassan Ibrahim merupakan seorang mahaguru dalam bidang tajwid, tarannum dan sebagainya. Tuan Guru Haji Musa telah berpeluang memperdengarkan bacaan ayat-ayat Suci Al-Quran ini kepada ulama besar Masjid Nabawi tersebut dan mendapat pengiktirafan dari ulama besar Madinah itu[5] Pengiktirafan yang diberikan oleh Syeikh Hassan Ibrahim kepada Tuan Guru Haji Musa adalah satu penghormatan kepada ulama Alam Melayu. Ini adalah kerana ijazah yang dimiliki oleh Tuan Guru Musa pada waktu itu adalah setaraf dengan ijazah PhD dalam bidang al-Quran pada masa ini. Syeikh Hassan Ibrahim bukanlah calang-calang ulama. Beliau sangat dihormati dalam sejarah ulama' di Arab Saudi dimana beliau telah mengajar hampir 100 tahun dalam Masjid Nabawi, Madinah dan meninggal pada usia hampir 120 tahun. Di Makkah, Tuan Guru Haji Musa turut berkesempatan menadah kitab kepada Syeikh Nuh Jamaluddin Al-Kelantani. Sekembalinya dari Makkah, Tuan Guru Haji Musa membuka sebuah madrasah di Cabang Tiga, Bukit Marak. 

Pada tahun 1947, Tuan Guru Haji Musa secara rasmi telah mendapat pengiktirafan dan kebenaran daripada Majlis Agama Islam dan Adat-Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk membuka sekolah agama di Bukit Marak dan berdakwah diseluruh negeri Kelantan. Selain dari mengajar di madrasahnya sendiri, Tuan Guru Haji Musa sangat gigih menyebarkan ilmu dengan berulang alik mengajar kitab di merata tempat antaranya seperti di Sekitar Kg. Padang Lati, Atas Pasir, Banggol Telipot, Pasir Puteh, Limau Kasturi, Manik Urai dan Laloh di Ulu Kelantan. Bahkan beliaulah orang yang bertanggungjawab memulakan solat Jumaat pertama di Kampong Laloh, Kuala Krai. Walaupun terpaksa menaiki bot galah, keretapi dan sebagainya, namun demi dakwah dan menyebarkan ajaran Islam, beliau sanggup mengetepikan segala kepayahan yang beliau hadapi. 

Pada tahun 1948, beliau berangkat sekali lagi ke Makkah setelah berasa rindu yang amat sangat hendak mengunjungi Baitullah. Kali ini beliau menggunakan khidmat Syeikh Abdul Halim dan menaiki kapal laut di pelabuhan Pulau Pinang. Beliau berangkat ke Makkah bersama Hajjah Che Bidah, anak perempuannya Zaunah (Hajjah) serta dua orang anak angkatnya iaitu Syeikh Mohammad Qurra' dan Mohammad Saghir. Mereka menetap disana selama 3 tahun. Syeikh Mohammad Qurra' kemudiannya menjadi rakyat Arab Saudi, menetap di Ajyad Sup dan mengajar Al-Quran di Masjidil Haram sehinggalah meninggal dunia di Makkah manakala Mohammad Saghir menetap di Jabal Sudan dan meninggal dunia di Makkah. Tuan Guru turut ditawarkan menjadi warga Arab Saudi, namun beliau menolaknya memandangkan 2 orang anaknya masih berada di Malaya pada ketika itu. Selain itu, beliau juga berhasrat hendak menyumbangkan khidmat bakti dengan berdakwah, mengajar agama dan Al-Quran kepada masyarakat setempat di negeri kelahirannya.

Jasa-jasa beliau dalam dakwah dan penyebaran ilmu agama

  1. Beliau menjadi pelopor kepada pembelajaran Al-Quran secara qiraat dimana hanya beliau dan Mufti Kelantan Dato' Haji Muhammad Nor sahaja yang arif di bidang Qiraat 7 Al-Quran diwaktu itu (Tujuh cara pembacaan Al-Quran)
  2. Beliau mengajar kitab dan berdakwah bukan sahaja di madrasahnya tetapi di seluruh tempat di negeri Kelantan
  3. Beliau pernah menjadi hakim tilawah Al-Quran peringkat Negeri Kelantan yang diadakan di Padang Bank (kini Padang Merdeka) Kota Bharu.
  4. Beliau sentiasa menjadi tempat rujukan orang ramai untuk memohon bantuan, pandangan dan nasihat berkaitan hukum-hakam, masalah rumah tangga dan sebagainya.
  5. Beliau pernah melatih dan membimbing qari terkenal Kelantan antaranya Haji Ahmad Som Pergau dan Haji Mokhtar dalam bidang tajwid sehingga berjaya muncul sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa
  6. Beliau menjadi pelopor solat Jumaat di Kampong Laloh, Kuala Krai
  7. Beliau mendidik dan memelihara ramai anak angkat yang terdiri daripada anak-anak yang bermasalah dan kurang didikan agama serta miskin. Anak angkat Tuan Guru Haji Musa ada di merata tempat antaranya seperti Encik Junuh di Kg. Bayam Kota Bharu, Allahyarham Hajjah Fatimah di Felda Jelu, Raub, Pahang, Encik Razali di Merapoh, Pahang, Allahyarham Encik Yusof Lind, Kuala Lumpur iaitu bekas suami seniwati Dayang Sulu dan ramai lagi.


Keistimewaan

Beliau sangat tegas menegakkan syiar Islam dimana sahaja beliau berpijak. Sebagai contoh, beliau melarang keras permainan Mak Yong, Wayang Kulit, Dikir Barat, Menora yang dimainkan di sekitar kampongnya semasa hayat beliau sekiranya permainan itu mengandungi unsur-unsur yang bercanggah dengan syariat Islam. 

Beliau dikatakan seorang yang berkat dan masin mulutnya, malahan ada sesetangah pihak yang mengatakan beliau adalah wali Allah, Wallahua'lam. Beliau dikatakan mempunyai kepandaian membaca khasiat batu permata. Dikatakan bahawa kepandaian ini beliau perolehi setelah mempelajarinya dari orang arab Maghribi ketika menetap di Tanah Suci Makkah. 

Tuan Guru Haji Musa amat berdisiplin dan sangat kemas peribadinya sehinggakan setiap perkara yang dilakukannya dicatit satu persatu termasuk apa yang dimakan setiap hari. Rumahnya menjadi tumpuan penduduk kampung menyimpan barang berharga ketika musim huru-hara atau darurat. 

Pernah satu hari anak murid beliau ternampak puluhan penjahat berada di hadapan madrasah. Selesai berdoa, Tuan Guru Haji Musa mempelawa mereka naik ke madrasah dan dijamu mereka makanan pulut sehingga mereka kekenyangan. Akibat kekenyangan dan rasa malu atas kebaikan Tuan Guru Haji Musa, ketua penjahat itu kemudiannya berikrar dan berjanji tidak akan mengganggu keamanan disekitar kampung tersebut. 

Begitu juga sewaktu Jepun menduduki Tanah Melayu. Bukit Marak menjadi tempat askar Jepun melaksanakan hukuman pancung terhadap mereka yang bersalah. Namun ketua askar Jepun amat menghormati Tuan Guru Haji Musa sehinggakan terdapat beberapa orang dilepaskan daripada hukuman pancung akibat menghormati beliau. 

Ketika peristiwa darurat 13 Mei 1969 meletus, Kiyai Haji Salleh daripada Johor telah datang ke Masjid Muhammadi Kota Bharu untuk memberi pesanan dan bertemu dengan masyarakat Kelantan. Tuan Guru Haji Musa telah menjemput rombongan Kiyai Haji Salleh datang ke madrasahnya di Bukit Marak. Tuan Guru dikatakan telah membuat selendang merah dan menempah parang panjang untuk mempertahankan diri. Sepanjang tempoh darurat itu, Tuan Guru Haji Musa dikatakan memenuhkan masanya dengan beramal dan bersuluk di dalam biliknya

Sahabat dan anak angkat yang menjadi alim-ulama
  1. Almarhum Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal mempunyai pertalian keluarga dengan Tuan Guru Haji Musa
  2. Almarhum Tuan Guru Sidi Abdul Latif , Seberang Takir Terengganu
  3. Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Aziz Pengasas Pondok Pasir Tumboh
  4. Almarhum Tuan Guru Haji Nik Mat Alim, Ayahanda kepada Dato' Nik Aziz Nik Mat
  5. Almarhum Sheikh Mohammad Qurra', Ajyad Supp, Makkah
  6. Allahyarham Haji Mohammad Saghir, Jabal Sudan Makkah


Tuan Guru Haji Musa, yang telah ditauliahkan tariqat al-Ahmadiah al-Idrisiyyah al-Rasyidiyyah ad Dandarawiyah di Makkah al-Mukarramah telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1970 sewaktu berusia 75 tahun, dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Atas Pasir, Bukit Marak. Beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dirumahnya pada pagi Jumaat setelah mendapat serangan jantung dan tidak sedarkan diri selama 3 hari. Ribuan anak murid, keluarga dan kenalan telah datang menziarahi jenazah beliau pada hari tersebut. Bagi mengenang jasa dan sumbangannya yang sangat besar kepada masyarakat, nama kampung "Cabang Tiga telah diabadikan dengan namanya menjadi nama Cabang Tiga Haji Musa, Bukit Marak. Begitu juga dengan Masjid Tuan Guru Haji Musa, Bukit Marak.

Sumber

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...